Israel Halau 100,000 Penduduk Gaza

Baitulmuqaddis – Tentera Israel memberi amaran kepada kira-kira 100,000 penduduk Palestin yang tinggal di timur Semenanjung Gaza supaya meninggalkan rumah mereka, menurut sumber tentera semalam.

Koresponden agensi berita AFP menemui risalah amaran itu yang disebarkan di kawasan kejiranan Zeitun di selatan Bandar Gaza.

Penduduk tempatan turut melaporkan mereka menerima panggilan melalui rakaman telefon dan teks mesej yang menggesa supaya berpindah pada pukul 5 pagi waktu tempatan.

Risalah itu antara lain memberitahu, tentera rejim Zionis akan melancarkan serangan udara ke atas pusat operasi pejuang-pejuang Palestin di Zeitun dan Shujaiya.

Kedua-dua kawasan itu mencatatkan jumlah bilangan roket paling banyak dilancarkan ke atas Israel.

Mesej amaran yang sama juga diterima oleh penduduk Beit Lahiya di selatan Gaza.

“Pemindahan tersebut adalah untuk memastikan keselamatan diri anda sendiri,” menurut risalah itu yang turut memberi amaran kepada penduduk supaya tidak pulang ke rumah mereka sehingga menerima notis terbaharu.

Mesej itu yang sebelum ini dihantar kepada penduduk di Beit Lahiya supaya berpindah pada Ahad lalu menyebabkan lebih 17,000 penduduk berlindung di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Amaran itu dikeluarkan pada hari kesembilan Operasi Perlindungan Sempadan Israel yang didakwa bagi membendung serangan roket yang dilancarkan oleh para pejuang Gaza.

Sejak 8 Julai lalu, para pejuang Palestin melancarkan hampir 1,000 serangan roket dan mortar ke atas kawasan rejim Zionis manakala Israel membalas dengan melakukan lebih 1,500 serangan ke atas Semenanjung Gaza.

Sumber pasukan perubatan Palestin memberitahu, sebanyak 205 penduduk Palestin terbunuh sejak serangan Israel dilancarkan pada minggu lalu.

Kelmarin, seorang rakyat Israel terbunuh apabila terkena serangan roket yang dilancarkan dari Gaza ke kawasan lintasan sempadan Erez. – AFP

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz37g5K5WDV
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.