Bom dan Rakaat Tarawih

PENDUDUK Gaza sentiasa dicengkam kebimbangan dan dilanda gelisah setiap kali keluar rumah untuk solat tarawih di masjid. Ada kemungkinan mereka tidak akan kembali lagi, dan tidak sempat bertemu keluarga tersayang.

Ketika umat Islam letih berpuasa, tentera rejim Israel menunjuk taring dan mempamerkan belang sebenar dengan mengebom apa sahaja, termasuk masjid. Setakat ini beberapa rumah ALLAH – termasuk di Jebaliya dan Deir el Balah – musnah dibedil roket Zionis, dalam apa yang dipanggil ‘Operasi Perlindungan Sempadan’.

Banyak bangunan musnah, tempat tinggal binasa, hatta hospital dan penempatan orang kurang upaya pun menjadi sasaran. Setiap saat kehidupan diselimuti ketakutan, sebab roket, bom dan peluru Israel menyerang tanpa mengira waktu, termasuk ketika penghuni Gaza sedang bersahur.

Malah, ketika azan Subuh dilaungkan, dan solat sedang dilakukan, tentera rejim tanpa sedikit pun rasa kemanusiaan, terus mengebom. Dan, pemimpin mereka ketawa melihat mayat Islam bergelimpangan.

Di tempat kita ungkapan ‘Anggaplah Ini Ramadan Terakhir’ hanyalah slogan dan andaian. Di Gaza ini memang satu kenyataan. Setakat rencana ini ditulis – hari ketujuh serangan tentera Zionis – 179 telah terkorban, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas. Lebih 1,500 lagi cedera, ramai yang parah.

Benjamin Netanyahu yang memakai topeng manusia itu dengan angkuh mengisytiharkan, seperti yang laporkan secara besar-besaran oleh media Barat: “Tekanan masyarakat antarabangsa tidak akan sedikit pun menghalang hasrat kami untuk terus menghancurkan Gaza!”

Dapat dibayangkan ramai lagi akan terkorban. Bumi umat Islam itu akan terus disimbah darah, setiap detik. Betapa pilunya takbir Aidilfitri apabila isteri kehilangan suami, anak kehilangan ibu bapa, tiada tempat tinggal, tiada ubat penyembuh luka. Dan tiada makanan.

Sedangkan para pemimpin dan pembesar di negara-negara Arab dan Teluk yang kaya dengan minyak 24 jam bermewah dengan hidangan-hidangan lazat – kambing panggang, kebab, dan serba-serbi makanan, minuman, dan buah-buahan dari seluruh pelosok dunia – sehingga terjadi pembaziran yang amat ketara.

Meski sesama agama dan sama sedarah, mereka bagaikan tidak sedar penderitaan dan tangisan di Gaza. Setakat ini tidak ada mana-mana negara Arab yang terang-terang menyatakan tentangan terhadap keganasan dan kebinatangan Zionis.

Di Malaysia sendiri orang berduyun menyerbu bazar Ramadan untuk membeli apa sahaja yang termampu diangkat oleh tangan, tanpa mengira harga. Malah, ramai yang bersantai menikmati beraneka juadah super lazat di hotel lima bintang, megah pula membayar RM200 seorang.

Di sana pakaian koyak rabak terkena serpihan bom dan peluru, mereka tidak langsung memikirkan bagaimana untuk mendapat pakaian baharu. Di tempat kita sejak awal puasa orang sudah memenuhi pusat-pusat beli-belah untuk menyertai ‘Jualan Raya’ atau ‘Mega Sales’ yang kononnya – entah betul entah tidak – memberi potongan harga hingga 80 peratus. Bertambah padat almari di rumah!

Marilah sama-sama kita menyatakan rasa simpati kepada penghuni Gaza. Bagi yang mampu hulurkan sumbangan anda menerusi Aman Palestin Bhd yang setakat ini, telah menghantar sumbangan sebanyak RM1.3 juta ke bumi perang itu bagi membeli makanan untuk sahur dan berbuka puasa kepada penduduknya.

Menurut CEOnya, Awang Suffian Awang Piut Aman, pihaknya akan menghantar misi kecemasan ke Gaza Jumaat ini terdiri daripada lima pakar perubatan iaitu dua pakar bedah ortopedik, dua pakar bius dan seorang pakar neurologi.

Patut juga kita memboikot produk Israel yang banyak di pasaran kita. Jika setiap orang Islam di negara ini menolak apa sahaja barangan Israel, sedikit sebanyak pasti ada kesannya. Kita pernah memboikot produk British satu ketika dulu, kini masa untuk melakukan yang sama terhadap Israel.

Paling tidak pun kita patut mengadakan solat hajat, dan berdoa setiap saat untuk kesejahteraan dan keamanan saudara kita di Gaza. Umat Islam, tanpa mengira warna dan lambang, perlu bersatu doa dan bertindak seiringan.

Para ulama kita perlu berpadu dan ketepikan keegoan. Saudara kita di Gaza disembelih dengan kejam, sedangkan kita di sini sibuk berpecah dan bergaduh sesama sendiri, hanya kerana bilangan rakaat solat sunat tarawih. Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.