Boleh Memudaratkan Kesihatan

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan tidak membeli dan menggunakan loket yang diperbuat daripada abu gunung berapi mengandungi bahan radioaktif semula jadi berikutan kajian mendapati ia boleh memberi kesan jangka panjang yang memudaratkan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam berkata, pada masa sama, pihaknya tidak mempunyai kuasa terhadap penggunaan loket berkenaan, tetapi beliau menggalakkan pengguna tidak menggunakannya.

Menurutnya, berdasarkan laporan analisis pengujian ke atas sampel pendant yang dijalankan Makmal Standard Dosimetri Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mendapati analisis menunjukkan kepekatan keaktifan bagi bahan radioaktif semula jadi Uranium-238 berada pada paras yang dibenarkan, manakala Thorium-232 adalah melebihi had yang dibenarkan. 

“Penggunaan loket ini boleh memberi kesan jangka panjang yang memudaratkan kesihatan seperti kanser atau kesan genetik kepada pengguna khususnya pemakaian berterusan bagi tempoh yang lama dan berhampiran tubuh badan.

“Keadaan ini akan memberi kesan bahaya terutama kepada kanak-kanak, wanita hamil dan ibu menyusu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Loket diperbuat daripada abu gunung berapi yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi terdiri daripada Uranium-238 dan Thorium-232 dan ia dibentuk melalui kaedah pemampatan abu ke dalam bentuk pepejal. 

Ia diedarkan beberapa syarikat jualan langsung serta berada di pasaran negara sekitar 2009 dan penjualannya dilakukan oleh individu di kaki lima, pasar malam dan laman sesawang tanpa melalui saluran sah. 

Dr Subramaniam berkata, pembekal dan penjual mendakwa beberapa kelebihan penggunaan loket seperti meningkatkan tahap kesihatan kepada pemakainya, melancarkan peredaran darah dalam badan, meningkatkan tenaga dan daya ingatan serta pelbagai manfaat lain. 

“Bagaimanapun, kementerian mendapati loket tidak mempunyai bukti saintifik mengenai manfaat kesihatan kepada pemakai loket dan ia tidak boleh dikategorikan sebagai peranti perubatan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan terhadap loket bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan kerana ia tidak diklasifikasikan sebagai peranti perubatan mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737). 

“Ini kerana ia bertindak sebagai aksesori tenaga atau tenaga peranti generasi semula jadi. Memandangkan ia bukan mengikut maksud perubatan, pengawalan loket adalah bidang kuasa Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).

“Penggunaannya tidak memberi sebarang manfaat sebaliknya memberi kesan risiko kesihatan kepada pemakainya,” katanya. 

Berikutan itu, Dr Subramaniam berkata, Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta LPTA untuk bekerjasama bagi mengenakan larangan penjualan roket radioaktif di negara ini pada masa akan datang.

http://www.hmetro.com.my/articles/Bolehmemudaratkankesihatan/Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!