Skandal 80 Lot Bazar Ramadan: Ahli Parlimen DAP Dakwa Sokong Permohonan Untuk Bantu Penjaja

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkata satu-satunya alasan beliau menulis surat sokongan untuk seorang ahli Pemuda PPBM kerana mahu membantu penjaja yang tidak mempunyai lesen mendirikan gerai di bazaar Ramadan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

Pemimpin DAP itu menafikan menerima wang daripada penjaja yang menyewa lot itu. Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai kata putus terakhir untuk mengeluarkan lesen perniagaan.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Fong yang juga bendahari DAP berkata, beliau hanya menulis satu surat sokongan kepada DBKL selepas ahli Pemuda PPBM, Mohd Noorhisyam Abd Karim meminta bantuannya pada 5 Jun lalu.

Katanya, beliau mengeluarkan surat sokongan itu dengan syarat tiada sewa dikenakan oleh sesiapa, kecuali DBKL.

Beliau berkata demikian selepas Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain dipetik The Star sebagai berkata, pada mulanya mereka menolak permohonan Noorhisyam, sebelum dipaksa meluluskannya selepas menerima surat sokongan Fong.

Noorhisyam didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan 80 lot bazaar dan menyewanya pada harga setinggi RM5,000 bagi 1 lot.

Fong berkata, beliau sudah menghubungi penjaja terbabit untuk mendapatkan penjelasan mereka dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung isu itu supaya menghubunginya atau membuat laporan polis.

Katanya, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, jika menemui bukti untuk menyokong dakwaan itu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.