PPBM Diminta Usah Sibuk Soal Pemilihan Umno

KENYATAAN MEDIA

JANGAN JADI PENCATUR PEMILIHAN UMNO

1. Umno mengalu-alukan pertandingan untuk semua jawatan tertinggi parti di bawah semangat kekeluargaan pada pemilihan 30 Jun ini.

2. Ini mencerminkan suburnya amalan demokrasi sejak bermulanya era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak memikul tugas presiden parti.

3. Ini berlainan dengan ‘penutupan’ pintu pertandingan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden apabila jawatan No.1 dan No.2 ‘digalakkan’ tanpa pertandingan.

4. Ini bersamaan dengan cara Lim Kit Siang memimpin DAP, yang dikecam dan dibenci oleh ahli serta pemimpinnya pada zaman itu.

5. Oleh yang demikian, Umno hari ini meminta pemimpin serta ahli parti bukan Umno agar jangan cuba mencampuri urusan pemilihan 30 Jun ini.

6. Umno melihatnya sebagai langkah provokasi untuk melaga-lagakan sesetengah pemimpin yang menawarkan diri untuk merebut pelbagai jawatan.

7. Ini adalah hal-ehwal dalaman parti Umno, dan bekas pemimpin dan ahli yang kini berada dengan PKR atau PPBM tidak berhak campur tangan.

8. Sama ada memilih tokoh tertentu atau meramalkan keputusan pemilihan, ini adalah satu cubaan kurang waras bagi mereka yang di luar Umno. Kami hairan dengan kegiatan campur tangan ini.

9. Usahlah sibuk dengan parti orang lain sedangkan kemelut dalam PH sudah pun mula terserlah, terutama dalam kes agihan gerai Ramadan yang dikatakan membabitkan Ahli Parlimen Bukit Bintang.

10. Umno tidak ingin mencampurinya kerana kerajaan sekarang ialah kerajaan ‘suci’ pimpinan Dr Mahathir, yang dipenuhi orang yang bebas daripada melakukan kesilapan.

11. Jadi, janganlah cuba berenang di kolam orang jika kita sendiri tidak membenarkan orang lain menghampiri kolam kita.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur
17 Jun 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.