DBKL Dakwa Didesak Lulus 80 Lot Tapak Bazar Ramadan Kepada Pemuda PPBM

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyalahkan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun atas isu lot bazaar Ramadan di Jalan Masjid India.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain berkata, beliau dipaksa meluluskan permohonan lot bazaar daripada pemimpin Pemuda PPBM, Mohd Noorhisyam Abd Karim, selepas menerima surat sokongan Fong.

“Pada mulanya kami kata tidak, tetapi beliau (Noorhisyam) terus mendesak kami dan kami hanya mengalah selepas mendapat surat sokongan ahli Parlimen Bukit Bintang,” kata Anwar kepada The Star.

Anwar berkata demikian susulan laporan berhubung “skandal bazaar Ramadan” di Jalan Masjid India membabitkan Noorhisyam, yang didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan 80 lot bazaar dan menyewanya pada harga setinggi RM5,000 bagi 1 lot.

“Kami juga bersetuju selepas beliau mendakwa hanya berbuat demikian untuk membantu orang miskin mendapatkan wang untuk Hari Raya.”

Anwar berkata, menurut laporan The Star, DBKL menjelaskan kepada Noorhisyam yang beliau perlu memastikan mendapat kerjasama pemilik premis di Jalan Masjid India.

“Tiada lagi ruang untuk lot baru di sana, tetapi kami benarkan mereka mendirikan gerai dekat kawasan Maybank, selagi ia tidak mengganggu aliran trafik.”

Katanya, DBKL membatalkan sistem lama peruntukan lot bazaar bagi parti politik pada 2014. Sistem lama itu berdepan kontroversi, dengan pelvagai pihak mendakwa wujud rasuah dan nepostisme, menurut laporan itu.

The Star melaporkan pegawai DBKL sering didakwa menyalahgunakan kuasa dengan memberikan lot kepada kenalan dan kroni yang kemudiannya menyewa atau menjualnya kepada pembida tertinggi.

Laporan itu turut memetik Ketua PPBM Bukit Bintang, Zailani Isausuludin yang berkata, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu itu. – FMT

One thought on “DBKL Dakwa Didesak Lulus 80 Lot Tapak Bazar Ramadan Kepada Pemuda PPBM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.