Anggota Tentera Maut Tertembak Diri Sendiri Ketika Memburu

KUALA KUBU BHARU – Seorang anggota tentera berpangkat Sarjan ditemui mati dengan kesan cedera di dagu dan kepala akibat terkena tembakan di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kerandang, Bukit Tagar di sini, semalam.

Mangsa, Kenaday Bakasut, 38, dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah yang dibawanya ketika datang memburu di kawasan kebun tersebut dengan menunggang motosikal bersendirian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, siasatan mendapati mangsa telah keluar dari rumahnya di kaurters Kem Tentera Paya Jaras pada Khamis lalu untuk memburu namun tidak pulang sehingga mayatnya dijumpai.

“Isteri mangsa meminta bantuan daripada saksi (anggota tentera lain) untuk mencarinya.

“Pada jam 10.30 pagi tadi saksi telah menjumpai mangsa di tempat kejadian dalam keadaan terbaring di atas motosikal yang jatuh,” katanya.

Beliau berkata, siasatan pasukan forensik di tempat kejadian mengesahkan mangsa tertembak sendiri dan mengalami kesan kecederaan tembakan di bawah dagu sebelah kiri menembusi di sebelah atas kepala kanan.

Menurutnya, mangsa dipercayai meninggal dunia melebihi 24 jam.

“Dompet dan dokumen mangsa ditemui dalam keadaan baik.

“Punca kejadian dipercayai mangsa tertekan picu senapang ataupun terhentak senapang dan menyebabkan satu tembakan terlepas dan mengenai dagunya.

“Pihak forensik juga menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri dan sebutir kelongsong peluru jenis Bore 12 di dalam laras senapang tersebut,” katanya.

Katanya, tiada unsur jenayah dikesan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.