Anak Tertembak Ibu Sendiri, Sangka Pistol Milik Bapa Hanya Mainan

GUA MUSANG – Seorang isteri anggota polis patah tulang bahu kanan selepas terkena tembakan yang dilepaskan anaknya secara tidak sengaja menggunakan pistol bapanya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, semalam.

Noor Aida Mat Yusoff @ Ahmad, 48, mengadu sakit bahu kanan selepas terdengar bunyi 1 das tembakan sebelum dipapah suaminya, seorang anggota berpangkat Sarjan yang kebetulan bersamanya sebelum dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian itu 10.30 pagi berlaku ketika anak lelaki mangsa berusia 25 tahun menemui sepucuk pistol bapanya yang diletakkan atas sebuah almari dekat dapur rumah mereka.

Beliau berkata, suspek menyangka pistol yang dijumpai itu adalah pistol mainan untuk menembak cicak dan secara tidak sengaja menarik picu pistol lalu melepaskan tembakan yang terkena bahagian belakang ibunya.

“Selepas itu, ibunya mengadu sakit bahagian bahu kanan dan terkejut apabila mengetahui terkena peluru pistol yang dilepaskan anaknya itu,” katanya hari ini.

Taufik berkata, ketika dibawa ke hospital untuk pemerikaan mendapati tulang bahu kanan mangsa patah dan terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut dan kini keadaannya dilaporkan stabil.

Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.