Veterinar Serbu Rumah Aliff Syukri, Didakwa Dera Kucing

SUNGAI BULOH — Pengasas produk kesihatan D’Herbs terkejut diserbu dua agensi penguatkuasa susulan dakwaan mendera kucing peliharaannya.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perhilitan Selangor menyerbu rumah Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 10 pagi semalam, atas aduan awam.

Namun siasatan selama sejam itu mendapati ‘Datuk terlajak laris’ itu tidak mendera kucing yang bernama Dodi, malah mempunyai permit sah, lapor Sinar Harian.

“Kami melakukan operasi ini setelah menerima puluhan aduan orang awam,” kata jurucakap penguatkuasa veterinar. 

“Setelah diperiksa, kami dapati Datuk Aliff tidak melakukan sebarang penderaan terhadap kucingnya.” 

Namun, mereka menasihati Aliff supaya menyediakan alas dan kawasan pengudaraan yang lebih selesa dan baik kepada haiwan baka Savannah itu.

“Kami sarankan beliau supaya buat Pet pasport supaya kucingnya ada rekod perubatan lebih sistematik,” kata jurucakap itu.

Kesal dengan dakwaan itu, Aliff berjanji akan mematuhi nasihat pihak berkuasa, yang terkejut dengan tumbesaran Dodi yang “agak besar”

Dalam pada itu, menurutnya, pihak berkuasa menyarankan agar beliau mengurangkan kuantiti makanan haiwan kesayangannya, yang berusia lebih dua tahun.

“Pihak berkuasa juga minta saya sediakan tempat habitat yang sesuai dengan Dodi. Insya-Allah, saya akan bina habitat sesuai untuknya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.