“Saya Hanya Ingat Ajal Sudah Sampai” – Zulhisham

PENDANG — Leher seorang pemuda terjerut selepas mencantas setandan kelapa yang diikat dengan tali, kelmarin.

Mohd Zulhisyam Zulkifli berkata situasi tidak terkawal sewaktu di atas pokok setinggi 3.7 meter, menyebabkan dia tergantung kira-kira empat minit, lapor Harian Metro.

Video lelaki dari Kampung Kobah, Kota Sarang Semut dekat sini, yang terjerut dan meronta-ronta mahu melepaskan diri, tular di media sosial sejak semalam.

“Ketika di atas pokok, saya sudah ikat 20 biji kelapa untuk dibawa turun. Tetapi, bila saya cantas tandan, tali yang mengikat buah kelapa itu menjerut leher saya.

“Ketika itu, saya hanya ingat ajal saya sudah sampai. Saya dapat dengar juga suara-suara orang di bawah meminta saya mengucap dua kalimah syahadah,” dia dilaporkan berkata.

Dalam kejadian 11 pagi Khamis, Zulhisyam, 23, berkata dia hanya memikirkan ajal dan masih mampu mengucap dua kalimah syahadah.

“Saya sempat menyebutnya [kalimah syahadah] sebelum pengsan dan sebaik sedar saya sudah di hospital,” katanya.

Zulhisyam yang diselamatkan penduduk kampung berkata dia “bagai mati hidup semula” selepas sedar daripada pengsan.

Dia dibawa ke Klinik Kesihatan di sini bagi merawat luka pada leher dan lengan sebelum ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.