Sanggup Berhutang Kerana Obses Untuk Sambut Hari Raya

Menjelang musim perayaan, muncul satu tabiat dalam segelintir masyarakat kita iaitu obses untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sehingga sanggup berhutang demi menyediakan pelbagai kelengkapan

Keadaan itu berlaku kerana ramai yang berbelanja melebihi kemampuan. Apabila bajet tidak mencukupi, mereka sanggup berhutang untuk memenuhi kehendak tersebut.

Statistik hutang daripada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015, 2016 dan 2017 yang dianalisis Utusan Malaysia Sabtu mendapati terdapat peningkatan dalam permohonan pinjaman.

Tempoh data yang diambil kira adalah tiga bulan sebelum tarikh Aidilfitri dalam tahun berkenaan. Perbandingan dibuat dalam tiga bulan tahun yang sama dan dinilai mengikut tahun 2015 dan 2016.

 
Kecuali pada 2017, data terkini dua bulan sebelum Aidilfitri masih belum diperoleh.

Data utama memperincikan jenis pinjaman adalah pembelian kereta, pembelian harta bukan kediaman, kegunaan persendirian, kad kredit dan pembelian barangan pengguna.

Hasil analisis mendapati menjelang Aidilfitri 2015, terdapat peningkatan permohonan pinjaman pada Jun berbanding Mei iaitu 16 peratus melibatkan nilai RM25,542 juta berbanding RM22,004.2 juta.

Namun, beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Julai, angka tersebut menurun sebanyak enam peratus atau RM23,965.1 juta. Bagaimanapun, jumlah permohonan masih lebih ramai berbanding bulan Mei.

Pada 2016 pula, tiga bulan sebelum Aidilfitri menunjukkan penurunan sebanyak lapan peratus daripada keseluruhan permohonan bernilai RM66,078.2 juta berbanding 2015 sebanyak RM71,511.3 juta.

Walau bagaimanapun, permohonan kad kredit meningkat sehingga 53 peratus melibatkan nilai sebanyak RM4,094 juta berbanding RM2,673.8 juta pada bulan Mei.

Pada akhir Jun 2016, angka tersebut meningkat lagi sebanyak 0.7 peratus menjadikan jumlah permohonan direkodkan sebanyak RM4,125.3 juta.

Sementara itu, permohonan pinjaman bagi kegunaan peribadi pula, sebanyak RM17,444.1 juta direkodkan dan angka tersebut menurun pada 2016 iaitu RM13,539.7 juta.

Majoriti permohonan bagi pinjaman bagi pelbagai tujuan pada 2017 menunjukkan peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding 2016 dan 2015.

Data berakhir pada April itu menunjukkan permohonan bernilai RM22,520.4 juta dicatatkan. Peratusan tertinggi permohonan adalah bagi kategori kegunaan peribadi iaitu 11 peratus atau RM4,978 juta berbanding Mei 2015 dan 2016.

Peratusan kedua tertinggi adalah kad kredit iaitu tiga peratus dan kedua tertinggi pula melibatkan permohonan pinjaman bagi pembelian kereta iaitu satu peratus atau RM6,295.3 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.