PM Sanjung Kehebatan Tiga Tokoh Wanita Islam

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia mahu melahirkan lebih ramai lagi golongan wanita yang disegani dan berjaya dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri berkata, keupayaan dan potensi golongan itu dapat direalisasikan apabila mereka diberi peluang terbabit dalam penggubalan sesuatu dasar negara.

“Peranan wanita bukanlah sekadar menjadi ibu dan isteri bahkan memberi impak yang besar kepada pembangunan sesebuah masyarakat atau negara. Bak kata pepatah Melayu, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.

“Kerajaan sentiasa mengetengahkan kepentingan wanita dalam penggubalan dasar negara. Banyak usaha dilakukan dalam memperkasakan golongan wanita baik dalam sektor korporat atau sosial.

“Saya percaya golongan wanita akan dapat merealisasikan potensi sebenar mereka dengan ruang dan peluang yang disediakan oleh kerajaan,” katanya menerusi entri terbaru di https://www.najibrazak.com.

Najib turut menyanjung kehebatan tiga tokoh wanita Islam iaitu Saidatina Siti Khadijah, Saidatina ‘Aishah serta Nusayba binti Ka’ab al-Ansariyah.

Perdana Menteri berkata, mereka adalah tokoh wanita Islam yang berjaya dan pengiktirafan diperolehi boleh menjadi pedoman kepada semua hari ini.

“Saidatina Siti Khadijah adalah usahawan wanita terulung, seorang dermawan juga sumber inspirasi kepada Rasulullah SAW.

“Kita sedia maklum akan kebijaksanaan Saidatina ‘Aishah sebagai tokoh pendidik dan keberanian Nusayba binti Ka’ab al-Ansariyah, srikandi wanita yang mempertahankan Rasulullah dalam Perang Uhud,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.