Kerajaan Teruskan Pembelaan Nasib Peneroka FELDA

PEKAN – Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan terus berusaha membela kebajikan peneroka FELDA di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk menambah nilai pembangunan sedia ada di tanah rancangan terutama perumahan generasi kedua dan ketiga FELDA.

“Kerajaan sentiasa mengkaji dan meneliti bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan FELDA dan pastikan kebajikan peneroka mendapat perhatian penuh.

“Kita sudah dapat melihat proses transformasi yang ketara apa sejak FELDA dibuka pada tahun 1960-an sehingga sekarang. Jadinya matlamat dan objektif untuk membebaskan masyarakat terdahulu daripada kemiskinan sudah tercapai,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian pada majlis Rahmat Ramadan dan Berbuka Puasa serta Penyampaian Sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal di Masjid FELDA Chini 1, di sini, hari ini.

Seramai 200 warga emas daripada sekitar FELDA Chini 1 menerima sumbangan barangan dan wang tunai sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun, Pengarah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Pahang, Datuk Mohd Aruwan Ab Aziz dan Pengurus Besar Kanan, (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin.

Najib turut merasmikan projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) membabitkan 7,770 unit lampu jalan di seluruh Pahang dengan kos RM6.62 juta.

Perdana Menteri kemudiannya bersolat Isyak dan tarawih bersama penduduk di Masjid Kampung Serambi, dekat sini sebelum menamatkan lawatan kerja sehari ke kawasan Parlimennya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.