Campur Tangan Rusia: Trump Mengakui Sedang Disiasat

Presiden Donald Trump mengakui bahawa beliau secara peribadi sedang disiasat sebagai sebahagian daripada siasatan dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden Amerika tahun lepas dan kemungkinan wujud pakatan sulit dengan kempennya – satu siasatan yang menyelubungi pentadbiran sejak memegang jawatan lebih lima bulan lalu.

“Saya sedang disiasat kerana memecat Pengarah FBI oleh orang yang memberitahu saya supaya memecat pengarah FBI! Witch Hunt,” tulis Trump di Twitter.

Trump tidak menyatakan siapa yang dimaksudkannya, tetapi dia dilihat merujuk kepada Timbalan Peguam Negara Rod Rosenstein, pegawai No 2 di Jabatan Kehakiman. Rosenstein melantik Robert Mueller pada 17 Mei sebagai peguam khas untuk mengetuai siasatan terhadap dakwaan campurtangan Rusia itu.

Rosenstein adalah juga penulis surat pada bulan Mei kepada Trump, mengkritik prestasi Pengarah FBI James Comey. Walaupun pentadbiran Trump pada mulanya berkata surat itu adalah sebab presiden memecat Comey pada 9 Mei, Trump kemudian berkata beliau berbuat demikian kerana “perkara yang berkaitan dengan Rusia itu”.

Comey (foto) memberitahu panel Senat minggu lepas beliau percaya Trump memecatnya kerana siasatan FBI terhadap dakwaan campur tangan Rusia itu. Comey juga memberi keterangan Trump telah mengarahkannya untuk menggugurkan siasatan FBI terhadap bekas penasihat keselamatan negara Michael Flynn.

 

Seseorang yang biasa dengan siasatan Mueller, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata semalam Mueller sedang meneliti sama ada Trump atau orang lain cuba menghalang siasatan berhubung dakwaan campur tangan Rusia itu.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.