Belanja Ikut Kemampuan Jangan Ikut Nafsu

Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba, ramai yang sudah sibuk membeli barang keperluan dan pasti teruja menyambutnya dengan pakaian yang cantik serta kuih-muih untuk dihidang kepada tetamu di rumah.

Lantaran itu, pusat-pusat beli-belah dan bazar Ramadan menjadi tumpuan masyarakat untuk membeli barang keperluan bagi menyambut Aidilfitri.

Baju, seluar serta kasut baharu, kuih raya dan macam-macam lagi pasti sudah dimasukkan dalam senarai barangan untuk dibeli.

Namun, menurut Pensyarah Kewangan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Salwana Hassan, sebahagian daripada golongan terbabit tidak patuh pada senarai barangan yang hendak dibeli, sekali gus menjadi punca mereka berbelanja lebih.

“Belanja sakan tanpa ada senarai barang membuatkan kita akan membeli melebihi bajet, apatah lagi pada musim perayaan. Ini kerana banyak promosi ditawarkan.

“Selain itu, sudah menjadi budaya masyarakat kita untuk berbelanja menjelang hari raya.

“Memang betul kita kena beli baju baharu dan keperluan lain, tetapi kalau baju sampai berpasang-pasang dan kuih raya penuh satu meja, itu bukan keperluan.

“Sikap juga memainkan peranan penting. Bila lihat orang beli, kita pun hendak beli. Orang lain buat kuih raya, kita pun hendak buat. Orang lain buat rumah terbuka, kita pun hendak buat rumah terbuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Sabtu.

Salwana menambah, akibat teruja menyambut hari raya, ada dalam kalangan kita sanggup berhutang.

“Tidak mengukur baju di badan sendiri, itu masalah masyarakat kita. Menyedari bajet terhad, tetapi tetap hendak beli segala macam benda.

“Sudah tahu duit tak cukup, pergi bank buat pinjaman ataupun swipe kad kredit untuk beli barang.

“Kita tahu Islam tidak melarang umatnya berhutang, tetapi kalau duit itu ‘hangus’ adakah berbaloi untuk ikat perut selepas raya?” ujar pensyarah kewangan mikro itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.