Anwar Akui Penat Terus Bertelagah Isu Calon PM

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan untuk tidak menawarkan diri sebagai calon perdana menteri.

Ketua umum PKR berkata keputusan itu diambil bagi mengelakkan pergeseran berterusan berhubung jawatan tertinggi kerajaan itu.

“Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU).

“Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi dan presiden Pakatan Harapan.

Manakala Anwar pula dicadangkan sebagai penasihat manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan pengerusi Pakatan.

Datuk Seri Azmin Ali dicadangkan menjadi timbalan presiden Pakatan manakala Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu masing-masing dicadang menjadi naib presiden.

Anwar berkata Pakatan perlulah mempunyai keseimbangan di mana setiap pemimpinnya harus diberikan kedudukan sama.

Katanya, cadangan PPBM itu harus diteliti semula kerana ia menggambarkan ciri kepimpinan Barisan Nasional.

“Pakatan perlu mengekalkan tradisi musyawwarah dan konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya.

“Semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan pengerusi hanya sebagai penyelaras,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mengingatkan kedudukan Dr Mahathir dalam Pakatan haruslah dimanfaatkan gabungan pembangkang itu.

“Agak kurang bijak untuk membuat sebarang andaian sebelum semua pimpinan parti menyatakan sikap dan usul tersebut dimuktamadkan,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.