3 Penjenayah Warga Asing Ditembak Mati

Tiga penjenayah warga asing ditembak mati oleh polis awal pagi ini berdekatan kawasan perumahan Jenderam Harmoni, Dengkil kerana cuba menyerang polis dalam satu operasi.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata semasa rondaan yang dijalankan pihak polis cawangan D9 Kontinjen Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah Sepang, anggotanya terserempak dengan tiga lelaki terbabit yang berpakaian gelap dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika polis cuba untuk menahan kesemua suspek bagi pemeriksaan, mereka bertindak agresif dengan melibas parang ke arah pihak polis,” katanya kepada media di Dengkil hari ini.

Katanya polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan kesemua suspek disahkan mati di tempat kejadian.

Abdul Aziz berkata hasil pemeriksaan tiada tanda pengenalan diri ditemui pada badan kesemua suspek dan tiada kesan suntikan BCG.

“Selain parang, kami menemui peralatan dipercayai untuk memecah rumah dan hasil pemeriksaan cap jari pada seorang suspek mendapati beliau terlibat dalam enam kes iaitu di Dengkil dan Bandar Salak Tinggi.

“Kami mengesyaki suspek dalam perjalanan untuk melakukan jenayah pecah rumah hasil penemuan barang-barang tersebut, ” katanya.

Kes di siasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang lelaki dipercayai penjenayah yang aktif menjalankan kegiatan samun bersenjata maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Berjaya, di Bukit Mertajam awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Zainol Samah berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.25 pagi itu, pasukan petugas samun Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang yang menjalankan rondaan Op Khas di kawasan Bukit Mertajam mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan itu bertindak mengekori kereta jenis Proton Iswara warna oren itu dari Jalan Soon Ban Keng dan cuba menahan kenderaan tersebut, namun pemandunya yang menyedari kehadiran polis terus memecut laju.

“Kereta itu menghala ke arah Kampung Baru sebelum pasukan petugas berkenaan bertindak mengejar dan selepas tiga kilometer polis berjaya memintas serta memaksa kenderaan tersebut berhenti di Jalan Berjaya,” katanya hari ini.

Katanya ketika polis hendak membuat membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu, beberapa das tembakan dilepaskan dari arah kereta Proton Iswara tersebut dan untuk keselamatan pasukan berkenaan telah membalas tembakan.

Zainol berkata setelah mendapati tiada lagi ancaman dan tembakan daripada suspek, polis kemudiannya membuat pemeriksaan ke atas kereta itu dan mendapati terdapat seorang lelaki maut terbaring di atas kerusi pemandu.

“Lelaki berusia 31 tahun itu mati disebabkan terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan polis dan semakan awal mendapati dia mempunyai rekod dikehendaki polis bersangkut kes samun wang tunai daripada peniaga emas membabitkan kerugian RM30,000 di Kuantan, Pahang,” katanya.

Katanya pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu polis telah menjumpai sepucuk pistol warna hitam jenis Cz 75P-01-cal.9 luger bersama peluru hidup dan kelongsong peluru, sebuah beg pinggang berwarna biru bersama suspek yang mengandungi sepasang sarung tangan putih, dua topeng muka berwarna hitam, satu pisau kerambit berukuran 18cm dan satu paket besar yang berisi 16 paket kecil disyaki dadah jenis syabu.

Beliau berkata sebanyak 13 kelongsong dan tiga anak peluru ditemui di lokasi itu dipercayai dilepaskan oleh polis serta suspek dalam kejadian berbalas tembakan berkenaan.

“Ini adalah antara kejayaan terbesar polis kerana siasatan awal mendapati lelaki itu sedang merancang untuk melakukan samun di sebuah kilang membuat emas di kawasan Butterworth,” katanya dan tidak menolak kemungkinan lelaki itu juga terlibat kes samun bersenjata membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit di sini.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan siasatan lanjut berhubung pembabitan suspek dalam kegiatan jenayah terutama samun masih dijalankan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.