26,384 Pendatang Asing Diusir Keluar

SHAH ALAM – Seramai 26,384 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar dari negara ini antara 1 Januari hingga semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Sri Mustafar Ali berkata, pendatang yang diusir itu hasil daripada 6,936 operasi penguatkuasaan di seluruh negara yang dijalankan sepanjang tempoh itu.

“Dalam tempoh itu juga, seramai 75,190 warga asing diperiksa dan hasilnya 21,717 PATI terdiri daripada pelbagai warga negara ditahan, membabitkan pelbagai kesalahan imigresen.

“Seramai 619 majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu dalam pelbagai operasi seperti Ops Gegar, Ops Sapu dan Ops Ikrar,” katanya pada sidang media di Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar JIM Selangor 2017 di Masjid Seksyen 7 di sini, petang semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Imigresen Malaysia Selangor, Omran Omar dan Imam Masjid Seksyen 7, Luqman Nur Hakim Tamyes. Mustafar berkata, Ops Minyak juga dijalankan tanpa henti bagi memastikan semua penguasa stesen minyak mematuhi peraturan penggajian pekerja asing.

“Sehingga 13 Jun, sebanyak 55 stesen minyak diserbu manakala 56 daripada 270 individu yang diperiksa ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi amaran kepada majikan yang masih gagal mendaftarkan pekerja asing supaya segera berbuat demikian.

“Mulai 1 Julai nanti, tindakan tegas melalui penguatkuasaan akan diambil terhadap majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka.

“Majikan perlu berbuat demikian sebelum tempoh tamat yang ditetapkan pada 30 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 113,670 E-kad sudah dikeluarkan di seluruh negara dengan sejumlah 20,637 majikan dan 124,997 pendatang asing didaftarkan.

Katanya, sebanyak 24,709 E-kad dikeluarkan, membabitkan seramai 3,677 majikan dan 32,504 PATI.

Pada majlis itu, Mustafar turut menyampaikan sumbangan kepada 16 ibu tunggal, 12 orang kakitangan Jabatan Imigresen dan lapan kanak-kanak kurang upaya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.