Video: Pecah Belah Masyarakat, Sesuatu Yang Jijik!- Hamzah Zainudin

Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim

 

KUALA KANGSAR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin menasihati jentera Barisan Nasional supaya tidak memanjangkan isu dalaman parti itu.

 

Beliau berkata, sudah tiada masa untuk melakukan perkara sedemikian memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar hanya tinggal dua hari sahaja lagi.

 

“Isu dalaman itu (tidak perlu dipanjangkan), kita perhatikan contohnya menerusi PDM yang saya jaga itu, pada asalnya, adalah sedikit (krisis) kemudian semakin lama semakin berkurangan mereka yang tidak berpuas hati.

 

“Bagaimanapun ada segelintir yang (masih) ada. Seperti pepatah Melayulah, disebabkan nila setitik, habis bubur sebelanga. Ia akan merosakkan. Saya nasihatkan kepada mereka, jangan buat kerja ini lagilah. Cukuplah tu,”katanya.

 

 

Beliau berkata apa yang penting, semua orang haruslah menghayati bulan Ramadhan dan mengambil kesempatan itu untuk meneruskan ibadah mereka kepada Allah S.WT.

 

Tambahnya lagi, seseorang yang melakukan perkara yang memecah belahkan masyarakat itu disifatkan sebagai jijik.

 

“Janganlah kita melakukan sesuatu yang boleh memecah belahkan masyarakat yang ada di kampung kita,”katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga telah melakukan tinjauan dan mendapati masih banyak kain rentang (banner) yang tidak sepatutnya masih dipasang.

 

Beliau tidak menolak kemungkinan ada cubaan daripada ahli parti yang masih tidak berpuas hati dengan pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid.

 

“Banyak banner yang tak sepatutnya naik dan dikatakan masih lagi dipasang. Oleh kerana saya menjaga kawasan itu, saya minta semua jentera-jentera Barisan Nasional (BN) dapat menurunkan banner-banner yang tak sepatutnya dinaikkan. Orang yang seperti ini ‘mereka yang membaling batu sembunyi tangan’.

 

“Dalam kita memilih wakil calon ditentukan oleh presiden parti dalam konsep kita mentaati pemimpin keputusan yang pemimpin telah buat. Sepatutnya kita berikan sokongan dalam membantu calon kita menang. Dimana parti kita akan bertambah kuat. Kekuatan parti itu akan dapat membantu dan memberikan semangat kepada semua ahli-ahli parti terutamanya masyarakat di sini untuk kita membantu dengan lebih lanjut lagi dengan pembangunan yang sepatutnya kita berikan,”ujarnya.

 

Menurut Hamzah, perkara itu seharusnya yang menjadi penghayatan kepada ahli Umno. Jadi, sekiranya ada ahli UMNO yang melakukan banner seperti itu beliau berpendapat bahawa individu tersebut tidak memenuhi tanggungjawabnya sebagai ahli parti.

 

“Dalam perbincangan saya dengan PDM, ketua cawangan memberitahu kepada saya, kita tak tahu siapa yang membangunkannya, (menaikkan banner tersebut), tetapi saya mintalah, kalau ia dilakukan oleh orang dalam biarlah dia sedar sendiri. Kita hanya tinggal dua hari untuk berkempen. Jadi tidak perlulah ada perasaan sebegitu rupa,”katanya.

 

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai masalah peniaga Bazar Ramadhan, beliau menafikan dakwaan melepaskan tangan dalam isu penyelesaian masalah tersebut.

 

Katanya, sewa di tapak Bazar Ramadhan bukan dibawah kementeriannya sekali gus menangkis dakwaan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah yang mendakwanya merupakan menteri ‘tidur’ yang tidak bertanggungjawab.

 

Sebelum ini, Ridzuan mendakwa peniaga bazar Ramadan dikenakan caj sewa tapak niaga terlalu tinggi sehingga mencecah RM39 ribu-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.