Video: Rakaman Banjir Lumpur Yang Melanda Ranau

Kota Kinabalu – Penduduk kampung di kaki Gunung Kinabalu terutama di sepanjang sungai, dinasihatkan supaya meninggalkan rumah masing-masing kerana berkemungkinan dilanda banjir lumpur.

 

Menurut pemantauan pihak berkuasa Ranau, paras air di empangan Kampung Kibarambang dan Liwagu meningkat dan dipenuhi kayu dan balak yang dibawa turun akibat tanah runtuh.

 

 

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata Dewan Komuniti Ranau dibuka dan jawatankuasa bencana alam telah diaktifkan untuk sebarang kecemasan.

 

Hujan tanpa henti sejak Sabtu lalu menyebabkan bongkah batu sebesar ‘kereta’, lumpur, balak dan sampah sarap mengalir ke sungai, menyebabkan paras sungai meningkat dan penduduk kampung yang enggan berpindah terperangkap.

 

Ia turut menyebabkan laluan antara Mesilau dan pekan Kundasang, terputus.

 

Jabatan Meteorologi Ranau berkata, batu dan bongkah besar mungkin terkeluar akibat gempa bumi 5.9 magnitud yang melanda, dibawa arus sungai ke hilir.

 

“Kami telah memeriksa kawasan di situ dan mungkin bongkah batu tersebut menjadi longgar akibat gempa bumi,” kata pegawai meteorologi.

 

Sementara itu Datuk Amisah Yasin, Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun, meminta kerajaan dan syarikat swasta juga individu untuk menderma air mineral kepada penduduk Ranau.

 

“Terdapat kekurangan bekalan air yang serius disebabkan empangan yang melimpah di Ranau dan juga banjir lumpur menyebabkan keadaan bertambah buruk,” katanya.

 

Tambahnya, semua sumbangan perlu dihantar ke Dewan Komuniti ranau, yang turut menjadi penempatan sementara beberapa penduduk kampung yang terjejas.

 

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Willian Baya turut membantu dengan meminjamkan beberapa kenderaan pacuan empat roda dan lori tiga tan bagi membantu membawa bekalan air mineral ke Ranau.

 

“Ia sebahagian tanggungjawab korporat kami. Ini hanya bantuan kecil untuk penduduk Ranau yang memerlukan bantuan,” katanya.

 

Sehingga jam 7 malam tadi, seramai 211 orang termasuk 90 kanak-kanak dibawa keluar dari kampung yang terjejas dan ditempatkan di dewan kecil di Kundasang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.