Video: Putus Dengan PAS, PKR Akan Keluarkan Kenyataan – Rafizi

Damansara – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyatakan parti itu akan mengeluarkan kenyataan mereka berhubung hala tuju Pakatan Rakyat selepas ini.

 

Mesyuarat Biro Politik parti itu diadakan sehari selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan berkenaan keputusan DAP yang menceraikan PAS menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), semalam.

 

Rafizi yang ditemui sejurus selepas mesyuarat PKR berkata kepada wakil media, “kita telah ada mesyuarat yang panjang dan telah dapat keputusan, cuma ada beberapa perkara yang perlu dirundingkan dan dibincangkan sedikit lagi.”

 

“Parti akan mengeluarkan kenyataan dalam masa yang difikirkan sesuai,” ujarnya ringkas.

 

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

 

 

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata, mesyuarat yang diadakan selama tiga jam itu adalah merupakan mesyuarat mingguan selain perbincangan bertujuan untuk menjaga amanah yang telah diberikan rakyat kepada parti itu.

 

“Setiap minggu kita akan buat mesyuarat, adalah kita bincang.  (Keputusannya) very positive untuk menjaga amanah yang telah diberikan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Keadilan di sini hari ini.

 

Setelah beberapa bulan PAS, PKR dan DAP yang bernaung dalam gagasan Pakatan Rakyat bergelumang dengan pelbagai kontroversi, ia diisyitiharkan menemui titik noktah secara rasmi.

 

Sebelum ini PAS menerusi presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang telah meluluskan tanpa usul bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP yang terang-terangan tidak bersetuju dengan dasar PAS untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.