Taati Ikrar, Jangan Bocor Rahsia Kerajaan- PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penjawat awam mentaati ikrar perkhidmatan awam untuk tidak membocorkan rahsia kerajaan.

 

Berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-14 (MAPPA XIV) di sini hari ini, beliau berkata insiden kebocoran rahsia kerajaan sebelum sesuatu pengumuman rasmi dibuat boleh memberi implikasi kepada keputusan kerajaan.

 

“Sehari dua ini ada kebocoran berlaku. Tolong jaga rahsia kerajaan, sebab mana-mana kerajaan pun mesti jaga rahsia. Kalau kita belum sedia buat pengumuman janganlah bocor sebab kalau bocor boleh jadi keputusan itu berlainan nanti.

 

“Ini belum apa-apa lagi tol dah kata kita nak naikkan. Sepatutnya kita ada kaedah tertentu. Inilah saya harap sangat penjawat awam kita sudah angkat sumpah jangan main-mainkan sumpah sebab ini untuk kebaikan negara kita,” katanya.

 

Turut hadir pada majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

 

MAPPA yang dianjurkan sejak tahun 2000 bertujuan membolehkan Perdana Menteri menerangkan strategi serta perancangan kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

 

Minggu lepas, Najib menyuarakan kekesalannya berhubung kebocoran maklumat berhubung kenaikan kadar tol yang tersebar di media sosial susulan laporan oleh sebuah portal yang memetik sumber kabinet.

 

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu yang berlangsung pada mesyuarat kabinet tidak menghasilkan sebarang keputusan muktamad.

 

Portal terbabit melaporkan cadangan kenaikan itu dijangka membabitkan sekurang-kurangnya 16 lebuh raya dan jumlah itu mungkin meningkat kepada 19. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.