Seorang Lagi Wakil PAS Letak Jawatan

Georgetown – Seorang lagi wakil PAS Mhd Nasir Yahya yang memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP melepaskan jawatannya sebagai ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Perkara itu disahkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow yang menyatakan surat peletakan jawatan Mhd Nasir berkuat kuasa semalam selepas diserahkan dengan tangan oleh anggota PAS itu.

 

Mhd Nasir dilantik sebagai ahli majlis atas penamaan daripada PAS sejak tahun 2014 dan telah dilantik semula tahun ini.

 

Beliau juga adalah ketua Whip kepada ahli majlis MBPP bagi PAS bagi tahun 2015.

 

Selain itu, beliau juga dilantik dalam tiga jawatankuasa tetap iaitu pengurusan kewangan, infrastruktur dan lalu lintas serta penguatkuasaan dan pendidikan awam bagi 2015.

 

Episod peletakan jawatan oleh wakil PAS bermula ekoran Dewan Ulama PAS sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas pada awal bulan lalu.

 

Pada 6 Jun lalu, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, melepaskan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub.

 

Langkah Mohamad itu diikuti Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meletak jawatan sebagai ahli Lembaga Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.

 

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Mohd Fadzil Kemi yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan gred S41 dalam kerajaan negeri pimpinan DAP itu pula ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Jumaat lalu.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir daripada PAS, Datuk Mohd Salleh Man tegas dengan pendirian untuk terus berkhidmat dengan kerajaan negeri walaupun DAP hari ini mengisytiharkan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud.

 

Mohd Salleh, yang sehingga berita ini ditulis masih Yang Dipertua Majlis Agama Negeri Pulau Pinang berkata beliau akan terus berpegang kepada manifesto pakatan rakyat pada 2013.

 

“Saya akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat atas mandat yang diberikan rakyat seperti yang tertera dalam manifesto (pakatan rakyat) pada 2013,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, sebarang ketidakpuasan yang timbul berikutan keputusan beliau itu akan dijelaskan kepada PAS pusat jika persoalan itu timbul. Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang ditemui pada satu majlis di di sini hari ini, enggan mengulas mengenai pertelingkahan yang terus berlaku antara DAP dan PAS.

 

Katanya, beliau akan mengeluarkan kenyataan jika perlu.

 

Bagaimanapun tengah hari tadi Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, mengeluarkan kenyataan mengisytiharkan pakatan rakyat yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud.

 

Beliau berkata, keputusan yang dibuat Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP ‘membunuh’ pakatan itu, dan jawatankuasa eksekutif pusat DAP dalam mesyuaratnya semalam mencapai kata sepakat berhubung pakatan rakyat yang dibentuk pada 1 April 2008 oleh DAP, PAS dan PKR selepas Pilihan Raya Umum ke-12, tidak lagi wujud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.