Satelit NASA Jatuh Di Lautan Hindi

SHAH ALAM – Satelit Misi Mengukur Hujan Tropika (TRMM) yang sudah tamat tempoh dilaporkan telah jatuh di Lautan Hindi semalam.

 

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Noordin Ahmad berkata, perkara itu disahkan oleh pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (Nasa) yang memaklumkan bahawa satelit itu jatuh kira-kira jam 2.25 petang semalam.

 

“Alhamdulillah rakyat Malaysia selamat, memang sudah jatuh, perbezaan masa yang menyebabkan ia jatuh semalam bukan hari ini sepertimana yang dilaporkan,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

 

Mengulas lanjut, Noordin berkata, sememangnya pembuatan satelit dirangka khas bagi memastikan ia ‘tidak balik ke bumi’.

 

“Yang jatuh itu hanya serpihan…Cuma isunya ialah akan banyak sampah sarap di angkasa kesan daripada kemusnahan satelit itu,” katanya.

 

Semalam Sinar Online melaporkan bahawa sebuah satelit yang dibina oleh Nasa dan Jepun untuk mengesan hujan dijangka akan jatuh ke bumi hari ini.

 

Satelit yang dinamakan sebagai satelit Misi Mengukur Hujan Tropika (TRMM) yang dibina oleh Nasa dan Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) untuk mengukur jumlah hujan di bumi itu semalam dilaporkan berada 100 kilometer daripada bumi.‎

 

TRMM yang berusia 17 tahun mempunyai berat hampir 3 tan, dilancarkan dari Tanegashima, Jepun pada 27 November 1997 bagi misi yang dirancang hampir tiga tahun. Ia ditutup pada 15 April tahun ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.