Rombakan Kabinet Mustahil Berlaku Selepas Aidilfitri

Kuala Lumpur – Desas-desus kemungkinan kabinet akan dirombak termasuk beberapa nama menteri akan digugurkan yang dijangka berlaku selepas sambutan Aidilfitri nanti semakin hangat diperkatakan ramai.

 

Mengulas perkara tersebut, Penganalisis Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kebarangkalian rombakan kabinet akan berlaku dalam jangka masa terdekat adalah mustahil.

 

Jelasnya, meskipun keadaan politik dan kepimpinan negara ketika ini kelihatan dalam keadaan meruncing, keputusan untuk melakukan rombakan hanya akan melemahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

 

“Saya tidak nampak akan berlakunya rombakan kabinet. Kalau lihat dari segi keseluruhan kabinet, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang mula tidak bersetuju pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menguruskan hal-hal negara termasuk membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan itu mengukuhkan lagi khabar angin.

 

“Sekiranya, ada dalam kalangan menteri yang tidak bersetuju dengan Najib dan mereka tidak mahu melepaskan jawatan, cara terbaik adalah rombakan kabinet perlu dilakukan.

 

“Namun, siapa yang akan digugurkan dan siapa yang akan diganti untuk memegang jawatan tersebut masih kurang jelas dan sekiranya ia berlaku, itu hanya akan memecah belah UMNO dan meninggalkan kesan negatif,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

 

Terdahulu, Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin mendakwa Najib akan membuat rombakan kabinet selepas Aidilfitri di mana salah seorang yang akan digugurkan adalah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ekoran ‘perbalahannya’ dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baru-baru ini.

 

Jelas Mohd Azizuddin, adalah suatu yang tidak adil sekiranya Najib mengugurkan menteri yang cuba mempertahankannya termasuk Nazri memandangkan tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas itu dikatakan sebagai membela Perdana Menteri daripada kritikan.

 

“Itu hanya masalah peribadi antara Nazri dan TMJ yang perlu diselesaikan sendiri olehnya.

 

“Apa yang dilakukan oleh Nazri tidak salah, cuma cara ‘peringatan’ yang diberikan olehnya kepada TMJ adalah tidak betul yang mana terlalu kasar sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan pihak Istana dan rakyat.

 

“Sepatutnya, menteri perlu mengingatkan pihak Istana sekiranya ingin membuat teguran perlulah secara berhemah atau dalaman menerusi kiriman surat atau majlis-majlis ilmu seperti yang sering dilakukan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.