Pulangkan Sebahagian Penjimatan Kepada Jabatan, Kementerian – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan satu pendekatan baharu dibentuk supaya jabatan atau kementerian yang berjaya melakukan penjimatan peruntukan boleh menerima semula sebahagian daripada usaha itu.

 

Beliau berkata ia sebagai penghargaan kepada jabatan atau kementerian terbabit kerana lebih efisien menjimatkan peruntukan agar mereka boleh melaksanakan program lain atau memberi insentif kepada pegawai mereka.

 

“Tradisi sekarang setiap tahun kita tengok bajet yang diluluskan dan kementerian mana yang habiskan bajet sepenuhnya dikira bagus.

 

“Maknanya kriteria dia habiskan peruntukan tetapi adakah itu kriteria mutlak? Kenapa kita tak cabar diri, kita boleh mencapai objektif dan KPI (petunjuk prestasi utama) tetapi boleh kurangkan perbelanjaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana perkhidmatan Awam ke-14 (MAPPA XIV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

 

MAPPA yang dianjurkan sejak tahun 2000 adalah bagi membolehkan Perdana Menteri menerangkan strategi serta perancangan kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

 

Perdana menteri memberikan contoh sekiranya Kementerian Pendidikan dapat melakukan penjimatan RM1 bilion daripada peruntukan, kaedah yang perlu dibincangkan ialah untuk memulangkan sebahagian daripada penjimatan itu kepada kementerian berkenaan.

 

Najib berkata amalan kini ialah peruntukan jabatan atau kementerian yang tidak dapat dihabiskan akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan.

 

“Kalau kita jimatkan perbelanjaan, Perbendaharaan akan dapat balik peruntukan itu. Nanti ada yang kata kita kerja kuat tapi (peruntukan) balik pada perbendaharaan tak dapat merasai penjimatan,” katanya.

 

Perdana Menteri meminta cadangan kaedah baharu itu dibincangkan antaranya melibatkan Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ketua-ketua setiausaha kementerian, penjawat awam dan Cuepacs.

 

Perdana menteri juga menyatakan keterbukaannya untuk mengiktiraf penjawat awam yang menunjukkan prestasi tinggi supaya diberi imbuhan setimpal dengan peningkatan produktiviti yang dihasilkan.

 

Katanya imbuhan seperti itu pernah diperkenalkan melalui pergerakan gaji menegak dan melintang serta anjakan gaji yang diukur melalui penilaian tahap kecekapan, namun kedua-duanya dimansuhkan.

 

“Saya mencadangkan supaya satu instrumen penilaian yang objektif diwujudkan dalam menilai dan menghargai penjawat awam yang berprestasi tinggi, melalui ganjaran yang sepatutnya,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.