Polis Tahan Lelaki Mengamuk Guna Pedang Samuria Di Melaka

Melaka – Polis Melaka menahan seorang lelaki yang mengamuk menggunakan pedang samurai di sebuah stesen minyak, di Semabok, semalam.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Razali Bakar berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di Sungai Rambai, Jasin, kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Isnin lalu, penganggur berusia 32 tahun itu mengamuk, dipercayai kerana mahu mencari seseorang.

 

Suspek yang berasal dari Merlimau, bagaimanapun meninggalkan stesen minyak tersebut beberapa minit kemudian, tanpa mencederakan sesiapa

 

“Siasatan awal mendapati, lelaki itu positif dadah methamphetamine dan mempunyai rekod lampau dadah. Motif suspek mengamuk dan dari mana pedang samurai itu diperolehi masih disiasat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

 

Beliau berkata, polis turut merampas pedang samurai kira-kira tiga kaki itu, sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian amuk berkenaan dan sebuah kereta yang dilaporkan hilang pada Isnin lalu.

 

Jelasnya, lelaki berkenaan ditahan reman empat hari, bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, atas kesalahan melakukan ugutan jenayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.