Permohonan Bebaskan Anwar Dibawa Ke PBB

Kuala Lumpur – Parti Keadilan Rakyat (PKR) meneruskan usaha bagi membebaskan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui petisyen rayuan yang dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

 

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, petisyen rayuan kepada Dewan Rakyat itu akan diserahkan oleh Ahli Parlimen PKR Gombak, Mohamed Azmin Ali yang juga selaku Menteri Besar Selangor.

 

“Datuk Seri Anwar dipenjarakan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 yang telah menerima keputusan Mahkamah Rayuan dengan menukar keputusan tidak bersalah daripada Mahkamah Tinggi.

 

“Penghukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengundang kritikan daripada pelbagai negara termasuklah kerajaan Australia, Jerman, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, United Kingdom, New Zealand, malah Switzerland mengumumkan akan membawa Malaysia ke muka pengadilan antarabangsa,” katanya di dalam sidang media di Parlimen hari ini.

 

Turut hadir sama di dalam sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen PKR Subang Jaya, R Sivarasa.

 

Petisyen ini dihantar sekali lagi ekoran keputusan mahkamah yang memenjarakan Anwar adalah secara tempang dan salah.

 

Menurut Izzah, penghantaran satu notis permohonan petisyen untuk membebaskan Anwar atas penghukuman tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Seri Pandikar Amin Mulia di bawah Peraturan Mesyuarat 19 Dewan Rakyat.

 

Hujah itu diperkuat dengan penarikan semula saman sivil Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap Anwar 1 Jun lalu selepas ia berlarutan hampir tujuh tahun.

 

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, usaha tersebut turut dipanjangkan dengan pemfailan petisyen pembebasan Anwar kepada Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

 

Permohonan mengenai penahanan Anwar kepada PBB tersebut telah diserahkan pada 15 Jun lalu menerusi peguam Jared Genser dan R Sivarasa.

 

“Kedua-dua usaha ini menyusul permohonan pendengaran semakan kes Fitnah 2 ekoran kenyataan bersumpah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) Datuk Ramli Yusuff di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman Sivil yang menyokong kuat pembelaan Anwar bahawa beliau adalah mangsa konspirasi politik dan wujudnya keterangan yang dipalsukan.

 

“Semakan penghakiman yang memuatkan keperluan mendesak melibatkan Datuk Ramli Yusuff telah difailkan oleh Latheefa Koya dan N Surendran,” katanya di Lobi Parlimen.

 

Kandungan petisyen yang dihantar antaranya menjelaskan mengenai keputusan pembebasan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu oleh Mahkamah Persekutuan (2004) dan Mahkamah Tinggi (2012).

 

Tegas Nurul Izzah, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan tidak ada campur tangan yang mampu menggugat prosiding badan kehakiman yang sedang berlangsung.

 

“Rekod lalu memperlihatkan tindakan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang secara melulu menjustifikasi penghukuman kes Fitnah 2 sebelum keputusan diumum para Hakim mahkamah Persekutuan telah mencalar perlaksanaan prinsip pengasingan kuasa di Malaysia,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.