PAC Akan Panggil Arul Dan Shahrul Ogos Ini

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan bekas Presidennya, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi secara berasingan, pada Ogos ini.

 

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya menerima banyak maklumat baru, ketika PAC memanggil firma audit KPMG dan Deloitte dalam prosiding baru-baru ini.

 

“Kita akan panggil Shahrul pada 4 Ogos dan Arul pada 5 Ogos depan. Surat kita sudah keluarkan pada minggu lepas kepada Kementerian Kewangan dan juga disertakan kepada 1MDB.

 

“Ada lebih kurang enam minggu, jadi tidak ada alasan untuk mereka tidak hadir,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

 

Mengulas perkembangan terkini prosiding 1MDB, Nur Jazlan berkata, sukar untuk memberi komen ketika ini, memandangkan pihaknya menerima banyak maklumat baru.

 

“Sukar untuk nyatakan berapa peratusan prosiding setakat ini. Terlalu banyak sangat maklumat yang diterima. Ada juga maklumat terbaru kita terima dan kita perlu memanggil individu berkenaan.

 

“Arul dan Shahrul perlu risau serta lebih bersedia, kerana kita ada lebih banyak maklumat yang diterima daripada audit KPMG dan Deloitte,” katanya.

 

Nur Jazlan turut memaklumkan, PAC akan memanggil semula firma Deloitte.

 

“Kami akan panggil semula Deloitte. Bukan tidak puas hati dengan mereka, tetapi kami perlukan jawapan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.