Lim Kit Siang Tuduh PAS Penyebab Krisis

KUALA LUMPUR – DAP me­nuduh Pas sebagai punca mengapa Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP bertindak mengumumkan pakatan pembangkang sudah tidak lagi wujud.

 

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, parti itu menetapkan pendirian tersebut berdasarkan ketetapan yang dibuat pada Muktamar Pas tempoh hari.

 

“Kita menerima keputusan bahawa pakatan sudah tidak lagi wujud berdasarkan apa yang telah diputuskan pada Muktamar Pas lalu, kita terimanya dan sudah tiba masa kita beredar.

 

“Malah, saya ada baca dalam sebuah portal berita hari ini, memang betul kita perlu mati untuk dilahirkan semula dan hidup kembali,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

 

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan pakatan pembangkang sudah tidak lagi wujud.

 

Sebelum ini, Dewan Ulama Pas mengemukakan usul agar Pas memutuskan hubungan dengan DAP yang diluluskan pada Muktamar Pas tanpa dibahas, namun ketetapan itu perlu dan belum diputuskan oleh Majlis Syura parti tersebut terlebih dahulu.

 

Namun ketika ditanya sama ada pengumuman itu bermaksud pakatan pembangkang sudah dibubarkan, Kit Siang yang masih tidak boleh beri kata dua hanya memberitahu, pendirian DAP adalah bersandarkan keputusan tersebut buat masa ini.

 

“Kita tidak mahu membuang masa de­ngan polemik politik kerana telah menghancurkan harapan rakyat yang pertaruhkan terhadap kita pada pilihan raya umum lalu.

 

“Maka untuk memenuhi aspirasi rakyat, kita perlu mengatur semula kuasa dan bila ini berlaku, hanya masa akan menentukannya,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.