Kebanyakan Parti Serpihan Akan Mati Tak Berkubur, Kata Pemimpin PAS

RANTAU PANJANG – Yang Dipertua (YDP) Pas Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun yakin penubuhan parti politik atas dasar kecewa dan tidak berpaksi pada dasar perjuangan adalah tidak relevan serta tidak boleh diterima pengundi masa kini.

 

Malah katanya, hampir semua parti serpihan akan ‘mati tak berkubur’ berdasarkan peristiwa sebelum ini.

 

“Lihat sahaja parti Akim (Angkatan Keadilan Insan Malaysia) yang ditubuhkan bekas YDP Pas Pasir Puteh, Musa Salleh dan Barisan Bebas Bersatu ditubuhkan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Mohamad Fakhruddin Abdullah yang tidak bertahan lama.

 

“Walaupun Fakhruddin meletakkan calon bebas di semua peringkat Dun dan sebahagian besar Parlimen seluruh Kelantan, namun mereka kalah kepada calon BN termasuklah ketuanya,” katanya.

 

Kata Abdul Fatah yang juga bekas Adun Bukit Tuku, walaupun penubuhan parti serpihan itu mempunyai matlamat tersendiri, namun belum dapat meyakinkan pengundi.

 

Menurutnya, dengan tertubuhnya Pasma, mungkin akan memberi kesan sama sepertimana parti serpihan lain.

 

Katanya, pada peringkat awal penubuhan, sememangnya kelihatan hebat dengan pelbagai kenyataan di media massa dan elektronik, bagaimanapun masa depan parti politik serpihan itu dijangka tidak berpanjangan.

 

“Ia bukanlah disebabkan kredibiliti tokoh parti itu, sebaliknya perjuangan dilihat kurang relevan dan tidak membawa mereka ke mana-mana.

 

“Saya nasihatkan sesiapa yang mahu menubuhkan sesebuah parti politik, berfikir panjanglah. Ambil iktibar berdasarkan nasib penubuhan parti politik serpihan yang berkubur sebelum ini,” katanya.

 

Bagaimanapun, kata Abdul Fatah, lain yang berlaku kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia hasil serpihan MCA, yang masih kukuh sehingga sekarang kerana bersandarkan kepada BN.

 

Menurutnya, jangka hayat PKR pula lebih panjang kerana bergabung di bawah Pakatan Rakyat, namun beliau yakin PKR juga pasti berkubur sekiranya tidak bernaung dalam pakatan.

 

Katanya, begitu juga dengan parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) apabila berjaya menumbangkan kerajaan Pas apabila mereka bergabung dengan BN. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.