Jawatan MB: Nasib Azmin Di Hujung Tanduk

Shah Alam – Kedudukan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor kini ibarat ‘di hujung tanduk’ selepas rakan sekutunya DAP yang tidak sebulu dengan PAS hari ini mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi.

 

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata PAS memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Selangor maka secara tidak langsung nasib Azmin kini bergantung pada ketetapan yang akan dibuat parti Islam itu kelak.

 

Menurut Jeniri, Azmin kini tidak mempunyai banyak pilihan jika PAS bertindak menjalin kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan di Selangor.

 

“(Kedudukan Azmin selaku MB) ‘Berada dihujung tanduk’.

 

“Apa yang berlaku kepada ketiga-tiga parti politik ini akan menentukan nasib siapa yang akan memerintah. Katakan kalau PAS mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Umno, kemungkinan PKR dan DAP akan tumbang.

 

“Tetapi, jika PKR dan DAP masih bekerjasama…saya fikir jumlah kerusinya tidak memadai dan ini memberi banyak persoalan sekarang.

 

“Kad penentu bergantung kepada PAS. Maksudnya, jika PAS mengambil tindakan untuk bekerjasama dengan Umno… perlu penggantian dari segi MB dan kerajaan akan bertukar tangan kepada kerajaan perpaduan,” katanya kepada Antarapos.

 

Pemimpin tertinggi DAP hari ini bertindak mengisytiharkan Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi wujud dan mengatakan ia akan hanya bekerjasama dengan PKR dan “semua pihak” yang mahu melihat pemerintahan Barisan Nasional (BN) berakhir.

 

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, badan pembuat keputusan tertinggi parti, pada mesyuaratnya malam tadi memutuskan menerima usul Muktamar Tahunan PAS ke-61 mengenai hubungan kerjasama antara mereka.

 

“CEC menerima usul muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan secara langsung mengakibatkan PR tidak lagi wujud.

 

“Memandangkan PR dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan Dasar Bersama, usul di muktamar PAS itu membunuh PR. Justeru kini, tiada lagi PR,” katanya.

 

Jeniri berkata, sekiranya Azmin mahu kekal sebagai menteri besar beliau harus menjalin kerjasama dengan PAS.

 

“Kalau dihitung jumlah kerusi di atas kertas, jika Azmin lebih mengutamakan kedudukannya dan mungkin kepentingan orang Melayu Azmin tidak ada pilihan kecuali bekerjasama dengan PAS.

 

“Sama ada beliau berani untuk mengambil tindakan itu, ada persoalan lain,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut apakah Selangor perlu membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor ekoran tindakan DAP itu, ini jawab Jeniri:

 

“Tidak semestinya, kecuali MB memberi satu tindakan atau mengadakan ‘snap election’. Itupun sekiranya sultan bersetuju dengan tindakan itu.

 

“Tetapi tak semestinya perlu wujudkan pilihan raya lain,” tegasnya.

 

Bagaimanapun Jeniri berkata ia satu keputusan yang besar malah akan memberi impak yang besar kepada politik Selangor.

 

“Itu satu keputusan yang besar yang bukan sahaja beri kesan kepada negeri Selangor dan pilihan raya di Selangor jika ada tetapi akan beri kesan besar dari segi dinamika politik pada masa depan terutamanya semasa pilihan raya (umum) ke-14 nanti,” tambahnya.

 

Semalam, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR berkata, kerjasama antara PKR, PAS dan DAP perlu segera disemak semula bagi memperkukuhkan kembali gabungan parti di dalam PR.

 

Dalam satu kenyataan, ketua pembangkang itu mengakui, wujud masalah dalaman PR yang memerlukan perhatian segera pemimpin tertinggi supaya ia ditangani secara bijaksana.

 

Beliau juga menyuarakan cadangan PKR supaya “perbincangan diteruskan dengan parti politik dan juga badan bukan kerajaan dalam kerangka besar masyarakat madani lainnya demi merangka hala tuju dan masa depan.” – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.