BN Dah Nasihat Banyak Kali, Tapi MIC Tak Nak Dengar – Ku Nan

Kuala Lumpur – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta MIC supaya bertenang dan menyelesaikan kemelut yang timbul secara matang.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas krisis MIC yang akhir-akhir ini bertambah buruk.

 

“Barangkalilah (mereka degil), itu saya tak mahu komen. Dia degil tak degil, saya tak tahu. Kita dah nasihat banyak kali, dah beritahu apa yang perlu dilakukan, tetapi dua-dua pihak tak nak dengar, apa kita nak buat?

 

“Tetapi, sebagai Setiausaha BN, saya nasihatkan mereka tolong fikir secara rasional dan bersatu, kerana masyarakat India perlukan kalian untuk beri sepenuh sokongan bagi memastikan MIC dapat memenuhi keperluan di dalam negara ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

 

Tambah beliau, pihaknya bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi parti komponen BN itu.

 

Sebaliknya, MIC beberapa kali meminta BN tidak masuk campur dalam kemelut tersebut.

 

“Sejak dari awal, mereka sudah meminta kami untuk tidak terlibat dan kami sudah berikan beberapa penyelesaian.

 

“Kami sudah pun bercakap dengan mereka, berikan penyelesaian kepada mereka dan mereka juga tidak menerima cadangan penyelesaian yang kami beri.

 

“Jadi, kami serahkan kepada mereka dan mungkin mereka fikir mereka mampu untuk selesaikan kemelut yang timbul, maka biarkan mereka selesaikan masalah itu,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung UMNO.

 

Dalam pada itu, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Nan berkata, BN akan memantau perkembangan parti komponen India itu dari semasa ke semasa.

 

Malah, beliau yakin kemelut itu tidak memberi kesan kepada imej BN itu sendiri.

 

“Saya tak rasa begitu, sebab kami percaya akhirnya kami akan bersama. Kita tak macam Pakatan Rakyat, sebab ikatan mereka longgar.

 

“Dalam kes kami, kami mempunyai ikatan yang kukuh. Saya tak risau,” katanya.

 

MIC berdepan kemelut, apabila pucuk pimpinannya dilihat tidak senada dalam mentadbir parti itu.

 

Kemelut kian memuncak apabila Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menggantung keahlian beberapa ahlinya, termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Naib Presidennya, Datuk M. Saravanan.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.