Bintang Chile ditahan akibat memandu dalam mabuk

Santiago – Bintang bola sepak Chile, Arturo Vidal ditahan, kerana memandu dalam keadaan mabuk, selepas kereta Ferrarinya terbabit dalam satu kemalangan di pinggir bandar Santiago, semalam.

 

Pemain tengah Juventus itu yang dalam misi membantu negaranya menjuarai Copa America 2015 di laman sendiri, hanya mengalami kecederaan ringan.

 

Isterinya turut cedera dalam kemalangan itu.

 

“Kerana dia memandu di bawah pengaruh alkohol, jadi dia ditahan,” kata pegawai polis, Ricardo Gonzalez.

 

Butiran lanjut mengenai kemalangan itu sukar diperolehi, namun menurut pegawai, ketika kejadian, kereta Vidal itu merempuh sebuah kenderaan lain.

 

Vidal bertegas yang dia tidak bersalah dalam nahas itu.

 

“Hari ini, saya terbabit dalam satu kemalangan kereta. Ia bukan kesalahan saya. Saya dan keluarga saya baik-baik sahaja. Terima kasih untuk semuanya,” kata Vidal dalam satu rakaman video pendek yang dimuat naik ke YouTube.

 

Tidak dapat dipastikan, jika penahanan Vidal itu akan menjejaskan penyertaannya dalam Copa America 2015.

 

Vidal adalah penjaring terbanyak dalam Copa America 2015, setakat ini, dengan satu gol penalti disumbangkannya dalam aksi pembukaan menentang Ecuador, Khamis lalu serta dua lagi jaringan, ketika menentang Mexico, Isnin lalu.

 

Pasukan Chile kini menghuni tangga teratas Kumpulan A dan akan bertemu Bolivia dalam final pusingan pertama, Jumaat ini.

 

Pemain kelab Itali, Juventus yang berusia 28 tahun itu tidak asing dengan kontroversi.

 

Pada 2011, dia adalah antara beberapa pemain yang disingkirkan daripada kem skuad Chile, gara-gara lewat menghadiri latihan.

 

Dia kemudiannya diterima semula ke pasukan itu, selepas memohon maaf.

 

Pada awal Oktober lalu pula, Juventus mengenakan denda 100,000 euro atau RM422,602, selepas Vidal dikatakan terbabit dalam satu pergaduhan di luar sebuah kelab malam di Turin, akibat mabuk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.