Aksi Memalukan, Dollah Jawab – Tengku Abdullah

Pekan – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh perlu memberi jawapan terhadap prestasi memalukan pasukan negara yang kecundang 6-0 kepada Palestin pada perlawanan kedua Kumpulan A, kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

 

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata selaku jurulatih, Dollah bertanggungjawab terhadap pemilihan pemain, yang berakhir dengan kekalahan yang tidak boleh diterima.

 

Tengku Abdullah menambah prestasi buruk skuad negara itu juga akan dibincangkan pada ‘post mortem’ dalam jawatankuasa yang akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia Negara, Datuk Mokhtar Ahmad.

 

“Saya cukup terkejut dan hampa kerana jurang kekalahan yang begitu besar. Kita mengharapkan Dollah dapat meningkatkan semula (prestasi), tetapi ia tidak berlaku.

 

“Pihak jawatankuasa kena mengkaji prestasi jurulatih terlebih dahulu. Pemilihan jurulatih juga dibuat daripada cadangan jawatankuasa berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Baginda ditemui pada Majlis Pengurniaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014, Anugerah Setia 2015 Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Penyerahan Zakat Perniagaan Korporat dan Pelancaran Dana Wakaf Pahang.

 

Mengulas jika akan berlaku rombakan pada skuad Harimau Malaya, Tengku Abdullah berkata perkara itu terpulang kepada jawatankuasa teknikal selepas kaji selidik selesai.

 

Tengku Abdullah juga berkata kekalahan itu juga menyebabkan laluan pasukan bola sepak negara untuk mara semakin sukar, meskipun secara realistiknya peluang itu masih ada.

 

Baginda juga tidak menolak kemungkinan akan berundur dari menerajui FAM jika prestasi Harimau Malaya tidak dapat diperbaiki, memandangkan baginda menetapkan Malaysia layak beraksi ke Piala Asia 2019 sebagai  petunjuk prestasi utama (KPI) peribadinya.

 

Malaysia akan meneruskan kempen kelayakan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Sept ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.