Semua Makmal KKM Dan JAKIM Akan Diselaras

KUALA LUMPUR 17 Jun:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyelaraskan semua makmal di bawah kementerian dan Jabatan Kemajuan Islam Malasia (JAKIM) bagi tujuan memperoleh ketepatan hasil ujian bagi makmal dua agensi tersebut.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ketika ditanya The Rakyat Post mengenai desakan Ikatan Aktivis Siber Malaysia (IKAS) yang mempertahankan JAKIM dalam isu DNA babi dalam Coklat Cadbury.

“Sebenarnya berkenaan halal haram ini kita sudah ada persetujuan antara KKM dan JAKIM. Semua ujian yang dibuat kelak akan merujuk kepada JAKIM dan JAKIM yang akan mengumumkan,” katanya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut desakan yang dibuat oleh IKAS, menjawab: “Memadai kalau saya kata kita (KKM) akan selaraskan semua makmal di kementerian dan JAKIM untuk mendapat ketepatan semua hasil ujian dan apa jua keputusan diperoleh, akan dibuat atas persetujuan bersama,” katanya.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan produk Cadbury di pasaran kata Dr Hilmi lagi: “Saya tak mau cakap apa-apa.”

Beliau sebelum itu dijemput merasmikan Seminar berkenaan ‘Medical Absenteeism – Whose Responsibility’ di Help College of Art Technology (HELP Cat) pada Selasa.

IKAS yang terdiri daripada blogger dan pemilik akaun media sosial mengadakan sesi demonstrasi makan coklat secara beramai-ramai di Wisma Nusantara, Jalan Puncak off Jalan P Ramlee, tengah hari Ahad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.