Metrowealth taruhan semula Pierre Andre menerusi filem Nar’sata

- Advertisement -

Selepas beberapa tahun menyepi daripada menghasilkan filem yang benar-benar meninggalkan impak besar dalam industri, Metrowealth International Group (MIG) kini tampil dengan semangat baharu menerusi pengumuman filem terbaharu mereka, Nar’sata: Sekutu Setan, sebuah naskhah bergenre seram thriller yang digarap sepenuhnya oleh pengarah dan penulis skrip prolifik, Pierre Andre.

Majlis Doa Selamat dan Pengumuman Pelakon filem ini berlangsung dengan meriah di ibu pejabat Metrowealth, PJCC, menampilkan suasana penuh semangat dengan kehadiran ramai pihak industri – barisan pelakon, rakan media, blogger, influencer dan pemerhati industri filem tempatan. Namun di sebalik acara tersebut, tersembunyi mesej yang lebih besar: Metrowealth sedang memulakan fasa kebangkitan, dan Pierre Andre menjadi taruhan utama.

Menurut penerbit David Teo, langkah mengekalkan Pierre Andre sebagai pengarah dan penulis skrip merupakan satu keputusan strategik selepas kejayaan filem Dajal: Satu Malam di Pedajal membuktikan bahawa nama Pierre masih punya nilai besar dalam pasaran. “Pierre bukan hanya kreatif, tapi dia memahami jiwa penonton Malaysia. Itu kekuatan yang tidak semua pengarah ada,” jelas David.

Bagi David, setiap filem yang diterbitkan adalah satu taruhan. Namun, pengalaman dan rekod Pierre menjadikan taruhan kali ini lebih meyakinkan. “Kami mahu bawa Metrowealth kembali ke zaman kegemilangan, tapi dengan nafas yang lebih segar, lebih matang, dan lebih berani,” tambahnya lag.

Berbeza dengan formula biasa filem-filem MIG sebelum ini yang sering menjurus kepada hiburan ringan, Nar’sata: Sekutu Setan tampil dengan naratif yang lebih berat dan psikologikal. Kisah Balqis, seorang wanita yang melalui detik hitam apabila dianiaya dan cuba dibunuh oleh sekumpulan lelaki, mengangkat tema trauma, dendam, dan kegelapan jiwa manusia. Diselamatkan oleh seorang nenek tua misteri, Balqis bangkit dengan satu misi – membalas dendam, dan dalam proses itu, mengungkapkan kebenaran gelap yang tersembunyi.

Genre horror thriller yang diangkat turut memberikan ruang kepada gaya pengarahan Pierre yang dikenali dengan sentuhan psikologi dan simbolisme – sesuatu yang jarang dilakukan dalam filem arus perdana Malaysia.

Filem ini menampilkan pelakon dari pelbagai lapisan generasi, antaranya Trisha Ooi, Mawar Rashid, Fadlan Hazim, Dai Fuad, Imranul Effendy, Aniq Suhair, serta pelakon senior seperti Khatijah Tan, Namron, Wan Hanafi Su, Ashraf Muslim dan Vanidah Imran. Gabungan ini bukan sahaja memberikan kepelbagaian dari segi lakonan, malah memperlihatkan keterbukaan MIG untuk membawa sinergi baharu dalam filem mereka.

Penggambaran akan bermula pada 20 Mei dan dijangka tamat pada 17 Jun 2025, dengan lokasi penggambaran difokuskan sepenuhnya di sekitar Lembah Klang.

Selain Nar’sata, MIG turut memperkenalkan dua lagi filem dalam perancangan mereka. Citra Apartment, sebuah filem seram terbitan Laku Pictures, bakal diedarkan MIG pada bulan Julai ini, manakala Lakhus: Penghulu Jin, sebuah lagi filem bergenre fantasi seram, telah siap menjalani penggambaran dan dijangka menemui penonton menjelang akhir tahun.

Ketiga-tiga projek ini memperlihatkan kecenderungan baharu Metrowealth dalam meneroka genre yang lebih berat, misteri dan berunsur supernatural – satu haluan berbeza daripada gaya komedi romantik dan drama ringan yang sinonim dengan mereka sebelum ini.

Dengan menampilkan kembali Pierre Andre sebagai pengarah utama dan memperkenalkan naskhah yang lebih gelap dan mendalam, MIG nampaknya bersedia untuk mengubah arah tuju kreatif mereka secara drastik. Nar’sata: Sekutu Setan bukan sekadar sebuah lagi filem seram – ia adalah simbol kepada keberanian Metrowealth untuk bertransformasi dan kembali relevan dalam era baharu perfileman tempatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat