Oleh Zihan Zari
KUALA NERANG : Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya memberkas dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar yang cuba menceroboh masuk ke sempadan negara pada Rabu.
Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (MK 2 Divisyen) tangkapan telah dilakukan di sektor kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Menurutnya, pada jam 3.30 petang sepasukan anggota TDM yang sedang menjalankan operasi telah menjumpai dua suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mereka merupakan PATI warganegara Myanmar dalam lingkungan umur 40 dan 45 tahun.
“Turut dirampas, sebuah telefon bimbit dan wang dalam matawang Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM 1,104.
Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya, ”ujarnya.
“Pasukan TDM yang menjalankan operasi mengawal sempadan negara dan akan terus memastikan keselamatan sempadan sentiasa terpelihara,” tambah kenyataan itu lagi – SUARA.TV