Menteri Alam Sekitar Dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana telah menyatakan pendirian Malaysia secara tegas berhubung perjuangan rakyat Palestin di Kemuncak Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat yang dipengerusikan oleh Presiden Joe Biden.

Kata Timbalan Presiden PAS itu, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membangkitkan isu Palestin secara jelas dan tegas.

“Selain itu, beliau turut menyuarakan pendirian Malaysia agar Laut China Selatan kekal sebagai kawasan perdagangan dan bebas dari campur tangan kuasa besar lain.

“Malaysia tidak mahu sebarang provokasi kuasa besar di Laut China Selatan,” jelas Tuan Ibrahim dalam kenyataan pada Selasa.

Semalam, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali merakamkan penghargaan kepada Ismail Sabri yang membela perjuangan serta nasib Palestin dan rakyatnya yang berjuang menentang kekejaman Israel.

Menurut Walid, dunia telah menutup mata terhadap penderitaan Palestin selama beberapa dekad, Malaysia sebaliknya sentiasa konsisten dengan pendirian dalam konflik Israel-Palestin.

“Kami rakyat Palestin menghargai dan mengagumi sokongan diberikan Malaysia dan Perdana Menteri ketika pertemuan dengan (Presiden Amerika Syarikat) Joe Biden, mengukuhkan lagi kedudukan dan pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin,” katanya.

Berharap Malaysia akan mempengaruhi negara Asia lain ke arah menyokong perjuangan Palestin, beliau berkata: “Isu Palestin sentiasa menyatukan jiwa dan menyentuh hati semua rakyat Malaysia”.

Malaysia konsisten dengan pendiriannya serta lantang menyuarakan solidariti dan sokongan terhadap isu Palestin.

Semasa mesyuarat pemimpin ASEAN dengan Presiden Joe Biden pada sidang kemuncak khas di Washington DC pada 13 Mei, Ismail Sabri telah meminta Amerika Syarikat (AS) bersikap jujur menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

“Kekejaman Israel perlu dihentikan. Malaysia menekankan Amerika Syarikat perlu jujur selesai isu itu. Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita nak Amerika Syarikat mengambil tindakan cepat bagi isu Palestin,” kata Perdana Menteri.