China Tambah Pembelian Minyak Sawit Malaysia

JASIN – Tambahan pembelian minyak sawit dari China merupakan berita gembira kepada lebih 600,000 pekebun kecil tanaman itu di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata dengan tambahan pembelian tersebut akan membantu meningkatkan lagi harga komoditi itu yang ketika ini di tahap memberangsangkan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang sangat komited membantu pekebun kecil sawit meningkatkan pendapatan, menerusi pemasaran komoditi itu ke luar negara,” katanya dipetik dari laporan BH.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi akaun Twitter kelmarin, turut menzahirkan kegembiraan apabila China memenuhi permintaan beliau sebelum ini untuk meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB akan menganjurkan sambutan 100 tahun industri sawit di Malaysia pada Khamis ini.

“Majlis berlangsung di Ladang Tennamaram, Kuala Selangor yang menjadi lokasi pertama penanaman pokok kelapa sawit negara pada 18 Mei 1917, sebelum dikomersialkan hingga kini.

“Sambutan bertemakan ‘Minyak Sawit Malaysia: Kebanggaan dan Pencapaian Kita’ akan dirasmikan Najib.

“Orang ramai, khususnya pekebun kecil boleh mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti mengenai perusahaan minyak sawit,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.