Fatin Nafi Mahu Lari Bogel Lepas JDT Menang Piala FA

SHAH ALAM ― “Kalau JDT menang malam ini (Sabtu), saya lari bogel telanjang bulat keliling padanglah.”

 

Demikian coretan di akaun palsu Facebook yang dikaitkan dengan Fatin Nuraisya Mohd Hanipha, 28, peserta pusingan akhir program realiti Clever Girl Malaysia (CGM).

 

Tulisan rekaan itu, yang dimuatkan pada hari perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kelab PKNS pada Sabtu lalu, menggambarkan seolah-olah gadis Kelantan ini seorang pembenci pasukan negeri tersebut.

 

Sebelum sepak mula, JDT sangat yakin menang di pertandingan akhir Piala FA di stadium Shah Alam, mendorong mereka yang anti-JDT mengecam pasukan bola sepak itu dengan pelbagai cara.

 

Pasukan itu akhirnya berjaya menamatkan kemarau juara piala tersebut hampir 30 tahun dengan menewaskan pasukan dari Selangor 2-1.

 

Menurut Harian Metro hari ini, Fatin berkata akaun palsu di laman sosial itu mula wujud sejak 1 Mei dan status bogel tersebut disifatkannya paling melampau.

 

“Akaun itu hilang selepas peminat membantu membuat aduan di Facebook,” katanya, yang telah melaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

 

“Namun seminggu kemudian, ia muncul semula dan menggunakan gambar yang dicuri daripada akaun Facebook peribadi saya.”

 

Dalam aduan polis, Fatin berkata selepas akaun Facebook palsu itu menjadi viral, beliau menerima banyak mesej daripada individu tidak dikenali yang mengancamnya dari segi seks.

 

Wanita itu tidak menolak kemungkinan akaun itu dikendalikan individu yang mengenalinya tetapi enggan menuduh sesiapa.

 

Namun fitnah yang memalukan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bertanding di pentas akhir Clever Girl Malaysia di TV3 pada Ahad ini. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.