Liga Super: Sarawak Tewaskan PKNS

Petra Jaya: Muamer Salibasic membuktikan dia masih dianggap penyerang berbisa selepas menyumbat gol kemenangan untuk membolehkan Sarawak mengatasi Selangor PKNS 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, malam tadi.

Salibasic menyumbat gol kedua Bujang Senang selepas bijak memperdaya dua pertahanan PKNS sebelum merembat masuk pada jarak 20 meter.

Skuad bimbingan Robert Alberts yang turun beraksi tanpa dua tonggak utama iaitu Mohd Lot Abu Hassan yang digantung perlawanan serta Gabor Gyepes yang dipalit kecederaan, terpaksa menunggu hampir sejam untuk membolehkan mereka di hadapan menerusi jaringan kapten pasukan Joseph Kalang Tie pada minit ke-58.

Terdahulu, separuh masa pertama menyaksikan penguasaan tuan rumah tapi malangnya penyudah tumpul sekali gus menyebabkan keputusan terikat tanpa jaringan.

Bujang Senang kecundang 2-3 kepada Sime Darby Jumaat lalu cuba bangkit untuk menebus kehampaan melalui asakan bertalu-talu namun gagal menjaringkan gol.
Melihat kepada situasi tidak menentu memaksa Alberts melakukan percaturan pada babak kedua dengan membawa masuk ayam tambatan Salibasic bagi mengukuhkan jentera serangan untuk memburu gol.

Percaturan Alberts nyata membuahkan hasil sekali gus mengubah kedudukan hasil jaringan pertama Kalang.

Semangat Ngap Sayot mula membara apabila Bujang Senang mula menguasai perlawanan sehingga memaksa anak buah Wan Jamak Wan Hassan bertahan bagi mengelak gawang bocor.

Bagaimanapun tuan rumah tersentak apabila PKNS menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri pertahanan Mafry Balang pada minit ke-78.

Kemenangan itu menyaksikan kedudukan Sarawak di tangga kelima tidak berubah berkongsi 25 mata dengan Terengganu yang kurang satu perlawanan di tangga keempat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.