“Sesungguhnya syaitan dan iblis telah berjanji untuk menyesatkan seluruh anak Adam hingga ke akhirat nanti.” – Sebuah peringatan yang menjadi nadi kepada Qodrat 2, di mana manusia diuji antara iman dan kepentingan diri, antara cinta dan haloba.
17 April 25 – Dalam dunia sinema seram yang sering dihantui oleh klise jumpscare dan kisah kerasukan, muncul sebuah karya yang meletakkan standard baharu untuk genre ini – Qodrat 2. Bukan sekadar kesinambungan kepada kejayaan filem pertama, Qodrat 2 tampil sebagai sebuah filem seram-aksi yang mendefinisikan semula watak wira dalam konteks keagamaan dan kemanusiaan.
Dengan lebih dua juta penonton di Indonesia dalam masa singkat, kejayaan Qodrat 2 tidak hadir tanpa sebab. Filem ini mengangkat satu persoalan yang jarang disentuh secara sinematik – apa yang terjadi apabila seorang manusia, dalam keputusasaan, menjual jiwanya demi cinta dan keluarga? Di sinilah kekuatan sebenar Qodrat 2 – ia tidak menjual ketakutan murahan, sebaliknya menawarkan naratif yang menyentuh sisi spiritual dan emosi manusia.
Ustaz Qodrat berjuang menjejaki isterinya, Azizah, yang baru diketahuinya mengalami depresi mendalam selepas membuat pengorbanan terlarang — menyerahkan keimanannya kepada syaitan Assuala demi menyelamatkan anak mereka, Alif Alfathanah. Dalam usahanya menyelamatkan Azizah yang kini bekerja di sebuah kilang fabrik misteri, Qodrat mula menyedari bahawa dia sedang diperangkap dalam satu permainan jahat yang lebih besar.
Namun, pertemuan semula antara mereka bukan hanya soal penyatuan keluarga, tetapi medan pertarungan antara iman dan kekufuran. Qodrat terpaksa menghadapi iblis yang lebih berkuasa, berdepan gangguan makhluk ghaib yang lebih kejam, serta berperang dengan pergolakan emosi dan rohaninya sendiri. Dengan kekuatan doa, keberanian, dan cinta, Qodrat harus memilih — tunduk kepada keputusasaan, atau bangkit sebagai wira spiritual terakhir untuk menyelamatkan nyawa dan jiwa orang yang paling dicintainya.
Ustaz Qodrat, yang dilakonkan penuh intensiti oleh Vino G. Bastian, bukan sekadar tokoh agama. Beliau adalah simbol kekuatan iman, kasih sayang dan keberanian. Dalam Qodrat 2, peranan Qodrat diperluas – dari seorang ayah yang berduka menjadi wira spiritual yang berjuang bukan hanya dengan doa, tetapi juga dengan aksi fizikal yang dikoreografi secara sinematik.
Acha Septriasa yang kembali menghiasi layar lebar sebagai Azizah memberikan satu lagi lapisan dalam naratif Qodrat 2. Filem ini memberi ruang kepada watak wanita untuk bersinar dalam dunia seram – bukan sebagai mangsa, tetapi sebagai karakter yang kompleks, penuh konflik, dan membuat pilihan moral yang mencabar.
Apa yang dilakukan oleh Charles Gozali dan pasukan produksi bukan hanya mencipta filem – mereka sedang memimpin satu pergerakan baharu dalam sinema serantau. Kolaborasi rentas negara seperti Astro Shaw dan MAGMA Entertainment memperkukuh potensi filem ini untuk mencipta kesan global.
Qodrat 2 menyerlah bukan hanya kerana elemen teknikal atau aksi, tetapi kerana mesejnya – manusia mudah disesatkan apabila berada di ambang keputusasaan. Iblis tidak menyerang secara zahir, tetapi menyelinap ke dalam niat dan pengorbanan kita. Dan di situlah terletaknya ujian terbesar.
Saksikan Qodrat 2 di pawagam seluruh negara bermula 17 April 2025. Ini bukan sekadar filem – ini adalah satu pengalaman, satu renungan, dan satu amaran: jangan biarkan kegelapan mengambil tempat dalam hati.
#Qodrat #FilmQodrat2 #Qodrat2MY