Prosiding selesai tapi keputusan kes Saddiq akan ditentukan pada tarikh lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Nasib Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada ) yang dihadapinya akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Keputusan rayuan Syed Saddiq, 33, sama ada beliau berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Syed Saddiq diwakili peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan dikendalikan Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Dalam prosiding hari ini, Ahmad Zaidi berkata, mahkamah menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes bagi pemilihan tarikh untuk keputusan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak di atas hujahan ini, namun kami memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusan berkenaan.

“Jadi buat masa ini, kami akan tetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes terlebih dahulu,” katanya lapor BH di Putrajaya pada Khamis.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Syed Saddiq kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

Prosiding rayuan ini adalah peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun jika panel hakim membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat