KUALA LUMPUR – Penjawat awam diminta melakukan perubahan dari segi cara penyampaian kerja dalam usaha mengurangkan rungutan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan yang dilihat masih tidak efisyen.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata beliau mahu kaedah baharu diperkenalkan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan ke arah lebih baik termasuk penggunaan teknologi dan aplikasi digital.
Tegasnya, perkara itu perlu kerana tidak mahu ada lagi rungutan mengenai perkhidmatan lambat hingga mendatangkan ketidakpuasaan serta komen negatif terhadap jabatan kerajaan.
“Saya (sebelum ini) berkhidmat banyak di jabatan yang berurusan langsung dengan rakyat seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pelbagai lagi jabatan (yang menawarkan perkhidmatan di kaunter).
“Jadi daripada situ saya melihat perlu ada satu anjakan (perubahan) yang perlu dilakukan oleh penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan (di kaunter) kepada rakyat terutama mereka yang memerlukan perkhidmatan dari segi dokumen, sijil kelahiran, passport, lesen memandu dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Bicara Aspirasi HEMAT Zon Utara di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, lapor BH di Pulau Pinang pada Khamis.
Program di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara itu turut menyaksikan Wan Ahmad Dahlan meluncurkan buku ‘H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi’ yang boleh dijadikan panduan untuk penjawat awam.
Wan Ahmad Dahlan berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mementingkan soal kepantasan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat setimpal dengan kenaikan gaji penjawat awam yang diberikan selepas 12 tahun ia tidak dinaikkan.
“Rakyat sangat menuntut (perkhidmatan yang cepat dan baik) sebab mereka bayar cukai, Perdana Menteri pula selalu cakap gaji sudah naik maka mahu perkhidmatan ditingkatkan.
“Oleh itu, saya minta ketua jabatan duduk dengan pegawai masing-masing untuk mencari langkah penambahbaikan supaya apa yang kita (penjawat awam) terima setimpal dengan gaji (yang dibayar).
“Walaupun perkhidmatan yang diberikan (masa ini) lebih baik berbanding dahulu, tetapi ia perlu lagi ditingkatkan kerana tidak mahu dengar rungutan daripada rakyat,” katanya.
Katanya, ia termasuk mewujudkan aplikasi teknologi yang rakyat tidak perlu lagi bersemuka dengan kakitangan kerajaan sebaliknya hanya melakukan urusan secara digital.