KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi tempoh empat bulan bagi melaksanakan proses pemutihan penjaja haram sebagai sebahagian daripada inisiatif Lestari Niaga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah itu bukan bertujuan memberi pengampunan penuh, tetapi sebagai peluang untuk peniaga tampil secara sah mengikut undang-undang.
“Saya ingin tegaskan, ini adalah ruang pembetulan, bukan pengampunan yang mutlak.
“Kita beri peluang, tetapi selepas itu, jika tidak tampilkan diri kita akan bertindak dengan lebih tegas lagi,” katanya semasa merasmikan Program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dataran DBKL, lapor Kosmo pada Khamis.
Menurutnya, DBKL perlu melihat secara menyeluruh kepada ekosistem penjaja dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang strategik dan bukan hanya bersandar pada status quo.
“Inisiatif ini adalah usaha membina sistem adil dan tersusun bagi memastikan penjaja yang mematuhi undang-undang tidak terus teraniaya,” kata Dr Zaliha.
Tegas beliau, tindakan penguatkuasaan perlu diteruskan terhadap mana-mana individu yang beroperasi tanpa lesen, tanpa mengira latar belakang.
“Yang salah tetap salah, perlu diambil tindakan penguatkuasaan, tidak kira siapa pun dia, baik Melayu, Cina, India, warga asing, gudang besar mahupun penjaja tepi jalan,” tegasnya.