KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook dengan nama Cayson Goh tampil menyanggah kononnya dia menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut lelaki asal Johor itu adalah tidak wajar keamanan negara dirosakkan hanya dengan perkara bodoh seperti ini.
“Dengan ini saya ingin jelaskan dan menegaskan bahawa saya tidak pernah menghina Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebenarnya dah banyak kali orang yang tidak diketahui dan tidak bertanggungjawah gunakan gambar saya untuk sebar benda yang bukan-bukan.
“Kali pertama berlaku sekitar bulan Mac, mereka gunakan gambar saya untuk membuka akaun Facebook dan gunakan AI mencipta video dengan gambar saya untuk promote web judi.
“Saya juga dengan segeranya membuat satu repot polis mengenai kes ini. Tapi kali ni dia orang over sangat, memang biadab, sampai menggunakan gambar saya membuka akaun FB dan menghina baginda Yang di-Pertuan Agong yang paling kita hormati.
“Serius, saya tak faham mana datangnya keberanian dia orang nak buat benda macam ni. Polis pun dah mula siasat dan harap mereka semua ini dituduh di mahkamah nanti.
“Untuk makluman saudara sekalian, saya hanya mempunyai satu akaun FB di mana akaun FB yang benar ini adanya blue tick verified.
“Tolonglah, jangan rosakkan keamanan negara kita. Kita dah lama hidup aman damai, walaupun berbilang kaum dan budaya. Jangan sebab perkara bodoh macam ni, semuanya musnah.dan untuk makluman semua sekali lagi, memang saya berasal Johor dan bangga sebagai seorang Bangsa Johor,” catat Cayson Goh dengan ucapan daulat Tuanku.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh berang dengan tindakan tidak bertanggung jawab dan kasar yang diucapkan pemilik akaun Facebook Cayson Goh yang menggelar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai ‘anjing liar’.
Cayson Goh membuat hantaran di Facebook dengan kata-kata kesat berserta gambar Sultan Ibrahim bersama Presiden China Xi Jinping dalam lawatannya ke Malaysia.