Sebat Pesalah Jenayah Syarie Depan Khalayak

BAGAN SERAI – Perlaksanaan hukuman sebatan di bawah undang-undang syariah perlu dilaksanakan secara terbuka dan khalayak ramai bagi memberikan keinsafan maksimum kepada pelaku jenayah dan masyarakat setempat.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, cadangan hukuman itu perlu diberikan pertimbangan serius pihak kerajaan sekiranya cadangan meminda Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) 355 diluluskan dalam Dewan Rakyat kelak.

Berbeza dengan perlaksanaan hukuman sebat pesalah jenayah undang-undang sivil yang dilihat amat keras dan mampu mendatangkan kecederaan, Dr Noor Azmi menegaskan hukuman sebat bagi jenayah berkaitan di bawah undang-undang syariah tidak menyakitkan dan sekadar memberi pengajaran.

“Jika dapat peluang bahas (pada persidangan Parlimen akan datang), mana-mana pesalah ditangkap atas kesalahan undang-undang syariah yang wajib dikenakan hukuman sebat, perlu dilaksanakan hukuman di hadapan khalayak ramai.
“Kalau boleh hukuman itu minta dibuat di kawasan luas, perlu dihadiri seluruh ketua jabatan (kawasan hukuman dijalankan), kesalahan pesalah diisytiharkan seterusnya hukuman dijalankan mengikut garis panduan ditetapkan syarak.

“Melalui kaedah itu, saya yakin hukuman dilaksanakan bukan sahaja memberi pengajaran, keinsafan dan ketakutan maksimum dalam diri pesalah, malah memberi kesan kepada masyarakat yang menontonnya,” katanya kepada media di sini hari ini.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.