Dakwaan KWSP Halang Letak Anak Sebagai Waris dan Caj 4 Peratus Tidak Benar

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya ada kes individu yang dinafikan hak meletakkan nama pewaris dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dikenakan caj penyelengaraan sebanyak empat peratus.

Pengarah Komunikasi kementerian, Datuk Lokman Noor Adam dalam satu kenyataan berkata, tuduhan tersebut adalah palsu malah siasatan sudah dijalankan bagi mendapatkan kesahihan dakwaan yang sama.

“Hasil penelitian yang dilakukan, tindakan lelaki tersebut secara jelas berniat jahat untuk memburukan KWSP dan pihak kerajaan dan bertujuan untuk mewujudkan sentimen kebencian dan ketakutan dalam kalangan pencarum KWSP,” katanya hari ini.

KWSP juga sudah mengeluarkan penjelasan berhubung isu mengenai hak waris berusia bawah 18 tahun dengan menegaskan hak anak ke atas simpanan KWSP masih terpelihara walaupun berlaku kematian samada dinamakan sebagai penama atau sebaliknya.

“Dakwaan berhubung caj penyelenggaraan juga tidak masuk akal kerana KWSP sebagai sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) tidak ada mengenakan caj sedemikian,” katanya.

Antara perkara lain dibangkitkan lelaki tersebut adalah melibatkan jumlah dividen yang juga tidak benar sekali kerana KWSP memberi jaminan dividen sebanyak 2.5 peratus setahun.

“Malah KWSP turut akan memastikan simpanan semua pencarum adalah selamat dan mendapat jaminan dividen sebanyak 2.5 peratus setiap tahun berdasarkan baki pembukaan simpanan sehingga 1 Januari manakala dividen bulanan pula akan dikreditkan ke akaun berdasarkan jumlah caruman bulanan yang diterima,” terangnya lagi.

Bagaimanapun Lokman berkata, langkah meletak had umur 18 tahun bagi melayakkan seseorang mengeluarkan caruman atau mewarisi sesuatu harta bertujuan mengelakkan wang tersebut tersalah urus oleh pewaris kerana usia yang terlalu muda.

“Sekiranya pewaris masih terlalu muda dan belum mampu menguruskan apa yang mereka warisi, sudah pasti caruman yang mereka warisi itu akan jatuh ketangan penjaga mereka dan belum tentu dapat dinikmati oleh si pewaris tadi,” ujarnya. – MalaysiaGazette.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.