Video: Maut Dipatuk Ular Ketika Persembahan, Keluarga Dakwa Penyanyi Dibunuh

JAKARTA — Selepas seminggu Irma Bule mati dipatuk ular ketika membuat persembahan, keluarga mangsa kini mendakwa kematian penyanyi dangdut itu bukanlah satu kemalangan.

 

Maman, bapa saudara penyanyi itu berkata, kematian arwah seperti sudah dirancang seseorang jika dilihat kepada beberapa kejadian sebelum insiden tersebut.

 

“Kerana anak saudara saya dijemput dari rumah. Sudah disiapkan semuanya, ularnya juga tidak dibuang bisa mulutnya, tahu-tahu berada di pentas.

 

“Ularnya juga memang ada yang sudah disiapkan. Itu bukan pawang yang biasa Irma pakai,” katanya seperti dilaporkan portal Liputan 6.

 

Bersetuju dengan apa yang dikatakan Maman, ibu Irma berkata ular yang dibawa anaknya ke pentas biasanya sudah dijinakkan terlebih dahulu.

 

“Iya, bukan ular yang biasa. Kalau milik Irma biasanya mulut ularnya diikat, diberi ubat penenang, dijampi-jampi dulu dibisikkan nanti menari sama,” kata ibunya Encum.

 

Beliau berharap pihak polis dapat mengenal pasti punca kematian anaknya agar mereka sekeluarga dapat meneruskan hidup dengan tenang.

 

Irma, 29, yang biasa bermain dengan ular berbisa ketika persembahan maut selepas dipatuk ular tedung awal bulan ini.

 

Ibu beranak tiga, ketika kejadian itu sedang menghibur tetamu di satu majlis keraian di Desa Lemahabang, Karawang di Jawa Barat.

 

“Ketika pertengahan lagu kedua, Irma terpijak ekor ular. Ular itu langsung mematuk paha Irma,” seorang saksi Ferlando Octavion Auzora dilaporkan berkata.

 

Penyanyi itu sudah dua tahun melibatkan ular, termasuk ular sawa, dalam persembahan dangdut, hiburan nasional yang popular di serata republik itu. – MalayMail

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.